Tuesday, September 29, 2009

2009-Tahun Lembu

Dengan izin,

Kaedah pembahagian harta si mati untuk waris mengikut Islam dikenali sebagai faraid. Dahulu sewaktu menuntut di Universiti, saya menganggap bahawa subjek Probate adalah suatu subjek yang tidak penting kerana sudah ada software untuk mengira pembahagian harta kepada waris. Sudahnya, saya mendapat gred C untuk subjek tersebut. Tetapi kali ini saya nekad untuk memahami, sekurang-kurangnya sifir pengiraan faraid sekalipun e-faraid sudah diaplikasikan di Jabatan Agama Negeri kerana ilmu Faraid ini ditekankan untuk dipelajari dalam Islam.

Perkara asas, paling pokok dalam faraid adalah harta hanya boleh difaraidkan kepada waris yang sah. Maka, anak angkat mahupun anak susuan tidak berhak ke atas harta si mati. Itu qat'i. Tetapi ada jalan kepada pemberian harta si mati kepada orang yang bukan waris, iaitu melalui wasiat (tetapi terhad kepada hanya sehingga 1/3 daripada keseluruhan harta) dan hibah/hadiah. Kedua-dua instrumen tersebut perlu dimeterai sewaktu si mati masih hidup.

Mari kita kaitkan kepada isu yang berlaku baru-baru ini. Tidaklah saya menyamakan seratus peratus isu tanah berisi sampah yang runtuh menimpa kandang lembu dengan sistem faraid, tetapi hanya mahu menilai dan mengambil sikap serta hikmah hukum yang ditetapkan Tuhan supaya kehidupan kita lebih bersistem dan seterusnya harmoni.

Pertama, hak adalah untuk orang yang berhak dan sah. Samalah seperti harta si mati mengikut faraid hanya untuk waris yang sah. Samalah juga seperti wang zakat hanya untuk asnaf yang berhak. Maka, hukum asas adalah hak hanya untuk yang berhak. Samada hukum Islam ataupun perundangan moden lain, setiap hukum asas akan ada pengecualian. Solat perlu dilakukan secara berdiri tegak dan rukun-rukun asas pergerakan ditetapkan mengikut Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Sungguhpun begitu sekiranya berlaku halangan, seperti kecederaan atau kecacatan ataupun tempat yang terlalu sempit maka Solat boleh ditunaikan mengikut keadaan seperti duduk, baring hatta kepada pergerakan mata dan hati.

Sebab itu apabila berlaku musibah bencana alam di Gombak melibatkan penternak lembu maka kita harus menganalisis isunya secara menyeluruh. Ye, elemen kemanusiaan harus menjadi perkara utama tetapi mari kita lihat isu ini satu persatu. Samada penternak adalah penternak yang sah atau tidak. Sekiranya penternak adalah sah, maka adalah wajar Kerajaan Negeri memberi bantuan segera kerana mereka adalah pembayar cukai dan berdaftar. Sekiranya mereka adalah penternak haram, secara asasnya mereka tidak berhak menerima apa-apa bantuan. Ini kerana mereka memperoleh untung secara tidak sah dan mengaut keuntungan maksima tanpa mengembalikan bahagian keuntungan mereka kepada negeri dan rakyat.

TETAPI, walaupun mereka tidak berhak, seharusnya di sinilah wujud kebijakan memimpin/good governance. Sepatutnya bantuan diberikan dengan mengingatkan penternak bahawa mereka sepatutnya mendaftar, mengambil lesen dan menayar cukai selepas kejadian berlaku. Mengambil sikap bijak dan berhikmah akan dapat menyumbang kepada persekitaran hidup yang harmoni. Bersikap rigid terhadap undang-undang, bersikap mahu popular, enak dengan tampuk kuasa akan menyebab rakyat jauh dengan pemerintah. Kejadian berlaku ketika suasana eid berlangsung, dan mengapakah kita tidak mengambil sikap eid itu untuk menyumbang.

Mari kita lihat pula pada sikap para penternak. Memanglah emosi mudah menguasai ketika ketika berasa rugi dan sayu melihat kematian binatang ternakan. Kita berasa amarah memuncak kerana pemimpin tidak mengambil tahu langsung. Benar atau tidak pemimpin tidak mengambil tahu itu soal lain. Tetapi apakah tindakan berkonfrantasi itu wajar menjadi tindakan awal. Kenapa kita tidak melihat isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah? Berkonfrantasi boleh, sekiranya kita sudah habis cara dan sudah tidak tahu bagaimana mahu menyalurkan rasa kita.

Saya hairan, ketika kita semakin maju, kita semakin moden, ketika kita semakin berpelajaran, kita makin jauh dengan akar kita.

Thursday, September 24, 2009

Eidul Fitri 1430H

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd

Minal 'Aidil wal Faizin. Kullum 'Am wa Antum Bikhayr.

Eidul Fitri 1430H diraikan dalam tarikh unik, 20-09-2009. Dan Eidul Fitri diraikan dengan semangat kembali kepada fitrah selepas selesai mengharungi ibadah puasa dan suasana yang masih segar dengan sambutan Kemerdekaan Negara ke-52 dan Hari Malaysia. Khatib dalam khutbah selepas Solat Sunat Eid mengingatkan jemaah perihal perjuangan melawan hawa nafsu dan mengekalkan momentum kesungguhan beribadah. Sungguhpun begitu saya kesal dengan sikap khatib mengelak daripada membaca teks khutbah Jakim sepenuhnya.

Sesuai dengan pengembalian kepada fitrah menyaksikan bahawa saya kembali menulis. Kali ini secara lebih serius dan bertanggungjawab. Saya berhasrat untuk menulis artikel non-akademik mengenai hudud sebagai serampang dua mata. Pertama untuk tujuan ulangkaji dan kedua sebagai pendedahan kepada pembaca mengenai hukum jenayah Islam. Tunggu ye!

Wednesday, September 23, 2009

Kelahiran

Hello dunia. Saya lahirkan blog ini sebagai manifestasi kebebasan bersuara. Tetapi bebas bersuara dengan sikap bertanggungjawab terhadap isi penulisan. Komen susulan dialukan, tetapi ketepikan emosi dan paling penting harus matang.

Salam Eidul Fitri semua!