Monday, March 29, 2010

Jerit

Jerit.

Biar Sampai Semua Yang Bukan Kita Dengar.



Jerit.

Jangan Ambil Yang Kita Punya.



Jerit Mereka.

Julang Senjata.



Lupa.

Ada Yang Lagi Berhak Menjerit.

Sunday, March 28, 2010

Detik Dunia

1. Saya rasa keadaan kesesakan trafik di Kuala Lumpur lebih baik daripada 5 tahun dahulu. Ini mungkin ada kaitan dengan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan melalui konglomerat bumiputera.

2. Namun, kemudahan bas awam dan teksi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutama dari segi kelancaran perjalanan, ketepatan masa dan tambang.

3. Saya hairan kenapa beberapa rangkaian keretapi letrik di ibukota tidak diintegrasikan di Stesen Kuala Lumpur Sentral, sebaliknya pengguna harus berjalan kaki keluar daripada terminal. Malah ada rangkaian langsung tidak dihubungkan dengan stesen.

4. Kerajaan patut mempertimbangkan tambang berpakej yang pelbagai selain daripada pas bulanan. Ini dapat menggalakkan penggunaan kenderaan awam selain menguntungkan pengguna

5. Demokrasi bukan sekadar majoriti membuat keputusan. Demokrasi itu perlu juga menyantuni kehendak kelompok minoriti selain melindungi hak mereka yang kecil. Kehendak majoriti tidak boleh sampai menindas nasib kelompok minoriti.

6. Demokrasi bukan konsep sempurna. Tetapi demokrasi hari ini adalah satu sistem yang digunapakai kebanyakan negara dunia. Namun, demografi negara sambil perjalanan sejarah harus tidak diabaikan dalam membentuk negara dan bukan sekadar retorika politik kepalsuan.

7. Pada pendapat saya, sama ada acuan demokrasi itu meniru gagasan greek atau westminster atau dipengaruh kehendak washington atau ubahsuai kehendak sistem Islam syura, ia harus mengambil kira semua kehendak masyarakat negara sebagaimana Muhammad membuat perjanjian Hudaibiyah dan segala macam perjanjian lagi dengan pembesar negara lain dalam pembentuk wilad dan pengembangan ugama.

8. Demokrasi itu harus hijau.

Sunday, March 21, 2010

DemoCrazy

Che Det bersurah tentang demokrasi di sini

Komen harus tunggu sebab ada game maha penting sekarang ni.

Mari berdoa Liverpool menang. Yea Torres score

Friday, March 19, 2010

Siri Celik Undang - Undang 1: Ceritera Undang-Undang Kita

Sejarah lampau peradaban perundangan moden negara sebelum merdeka menunjukkan bahawa perundangan Islam bukanlah sesuatu yang asing dan menjadi praktis dan kod amalan semenjak Kesultanan Melayu Melaka. Merujuk kepada Ramah v Laton (1927) 6 FMSLR (CA): -
"Muslim law is not foreign law, it is the law of the land; and the local law is a matter of which the Court must take judicial notice. The Court must propound the law and it is not competent for the court to allow evidence to be led as to what is the local law."

Ini bermaksud, undang-undang Islam itu adalah satu lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu.

Justeru, hak orang Islam sebenarnya telah mula dinafikan secara tersusun semenjak 1786 lagi, dan hanya pada 1988 barulah Mahkamah Syariah dapat bernafas semula.

Perkara 121 (1A) menyatakan mengenai fasal-fasal pembahagian bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah: -

“Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang selaras bidang kuasa dan tarafnya, iaitu:

(a) satu di Negeri-negeri Tanah Melayu yang dinamakan Mahkamah Tinggi di Malaysia dan yang mempunyai ibu pejabat pendaftarannya di Kuala Lumpur; dan

(b) satu di Negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang dinamakan Mahkamah Tinggi Borneo dan yang mempunyai ibu pejabat pendaftaran di mana-mana tempat di Negeri-negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan oleh yang di-Pertuan Agong; dan di mana-mana mahkamah bawahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan; dan Mahkamah-mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkmah bawahan hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurut Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim, salah satu kesan besar dari pindaan ini ialah mengeluarkan kuasa Mahkamah Sivil dari mendengar kes-kes yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mengelak percanggahan di masa hadapan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Ini kerana, sebelum ini, Mahkamah Sivil mempunyai kuasa menyemak semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah. Dengan pindaan ini, kerajaan berharap dapat menyelesaikan masalah pertindihan bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah ini.

Sebenarnya, perkara ini bukanlah bermula dengan adanya Pindaan 1988. Dalam pengamatan penulis, kes Mohamed Saad bin Mohd Nor lwn Hasnah bte Ahmad [1949] MLJ Supp 31, Mahkamah Tinggi Sivil semasa sebelum merdeka lagi telah mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret melibatkan hak penjagaan kanak-kanak yang telah diputuskan oleh Mahkamah Qadi (semasa itu). Ini kerana pada pandangan hakim bicara, hak penjagaan kanak-kanak bagi penganut Islam terletak di bawah bidang kuasa Mahakamah Qadi dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Tepat sekali kenyataan Ahmad Fairuz bahawa sebelum Pindaan 1988, memang banyak kes yang terang-terang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah telah “dirampas” oleh Mahkamah Sivil. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes popular di antaranya Myriam lwn Mohamed Ariff [1971] 1 MLJ 275, Commissioner for Religious Affairs, Terengganu & Ors. lwn Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110, Ainan Mahmud lwn Syed Abu Bakar [1939] MLJ 209 dan Nafsiah lwn Abd. Majid [1969] 2 MLJ 174 yang kesemua kes ini menafikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Tetapi kenyataan beliau bahawa ia tidak berlaku selepas Pindaan 1988 mengundang kepada beberapa persoalan. Ini kerana setelah Pindaan 1988 dibuat Mahkamah Sivil nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa bidang kuasa yang berkaitan dengan undang-undang Islam tidak lagi berada di bawahnya.

Ini dapat dibuktikan dalam kes Shahamin Faizal Kung bin Abdullah lwn Asme bte Haji Junus [1991] 3 MLJ 327. Hakim Edgar Joseph berpendapat bahawa peruntukan dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Courts of Judicature Act of 1964) sama sekali tidak terhapus walaupun adanya Pindaan 1988. Justeru, Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa memandangkan Seksyen 40(3) Enakmen Undang-undang Pentadbiran Islam Pulau Pinang 1959 tidak memperuntukkan bidang kuasa secara eksklusif hanya kepada Mahkamah Syariah apabila isu penjagaan kanak-kanak timbul.

Ini juga dapat dilihat dalam kes Ng Wan Chan lwn Majlis Agama Islam [1991] 3 MLJ 174 dan 487 di mana Mahkamah Sivil berpendapat bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ini. Ini kerana semasa kes ini, Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa oleh undang-undang bertulis (kuasa secara tersirat) bagi memutuskan isu sama ada seseorang itu seorang Islam atau tidak semasa kematiannya. Seksyen 45(2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor 1952 tidak menyenaraikan bidang kuasa tersebut. Setelah melihat fakta-fakta yang dikemukakan, Mahkamah Sivil berpendapat bahawa keterangan yang menunjukkan bahawa si mati adalah seorang Islam semasa kematiannya tidak cukup kuat seperti yang diperuntukkan dalam Enakman Undang-undang Pentadbiran Islam 1952, dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

Kedua-dua penghakiman itu ditolak oleh Mahkamah Agung (ketika itu) dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah Talib[1992] 2 MLJ 793. Keputusan ini sebenarnya memperbetulkan kesilapan oleh Mahkamah-mahkamah Sivil sebelum ini. Di permulaan kes ini, pihak defenden/perayu membuat bantahan awal mengatakan bahawa Mahkamah Sivil yang mempunyai kuasa. Tetapi memandangkan perkara yang dipertikaikan di Mahkamah Sivil terletak secara eksklusif di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Agung menyatakan bahawa Pindaan 1988 dengan jelas memberi kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah, dan bidang kuasa Mahkamah Sivil tidak termasuk dalam perkara berkaitan undang-undang Islam yang melibatkan penganut agama Islam.

Pendekatan yang diambil dalam kes ini ialah melihat sama ada peruntukan wujud secara jelas (express provision). Allahyarham Tan Sri Harun Hashim membawa pendekatan “melihat sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa atau tidak, dan bukannya melihat badan perundangan negeri membuat undang-undang yang memberi bidang kuasa kepada Mahakamah Syariah”. Akhirnya, beliau dan dua hakim lain, Datuk Gunn Chit dan Datuk Mohd Azmi membenarkan rayuan Mohamed Habibullah.

Malangnya campur tangan Mahkamah Sivil ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak terhenti selepas kes Mohamed Habibullah. Hasrat Mahkamah Agung untuk menyelesaikan perebutan dan pertindihan bidang kuasa yang sudah jelas diputuskan dalam kes ini nampaknya masih berlarutan.

Memang tugas hakim-hakim Mahkamah Sivil adalah membuat interpretasi undang-undang termasuk Undang-undang Perlembagaan. Kemungkinan besar, salah satu sebab yang membawa campur tangan Mahkamah Sivil ke atas bidang kuasa Mahakamah Syariah ialah interpretasi bidang kuasa tersurat dan tersirat (inherent and implied jurisdiction).

Ini dapat dilihat dalam kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang [1996] 3 CLJ 231 di mana pendekatan kes Mohamed Habibullah telah diambil oleh Hakim Datuk Abdul Hamid. Memandangkan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang 1993 tidak memperuntukkan dengan jelas kuasa Mahkamah Syariah dan peruntukan keluar dari agama Islam, bidang kuasa tersebut masih terletak di bawah Mahkamah Sivil.

Pendekatan yang sama juga turut diambil dalam kes Shaikh Zolkaffly Shaikh Natar dll lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1997] 3 MLJ 281 di mana hakim bicara menjelaskan bahawa “sekiranya ada pertikaian bidang kuasa di Mahkamah Tinggi Sivil, perkara pokok yang perlu dilihat ialah bukannya Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa atau tidak, tetapi sama ada bidang kuasa itu terletak dalam Mahkamah Syariah.

“Bidang kuasa Mahkamah Syariah diberi oleh perundangan negeri tetapi sekiranya perundangan negeri tidak menganugerah bidang kuasa tersebut (Senarai Negeri) kepada Mahkamah Syariah, maka dengan sendirinya bidang kuasa Mahkamah Syariah terkeluar dari mengendalikan perkara tersebut, dan bidang kuasa tidak sama sekali diperolehi secara tersirat”.

Memandangkan bahawa tiada peruntukan jelas yang menganugerahkan bidang kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah, maka bidang kuasa tersebut jelas terletak di bawah Mahkamah Sivil.

Pendekatan ini tidak diikuti dalam kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [1998] 1 MLJ 681 dan Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam dan Satu lagi [1992] 1 MLJ 1. Hakim-hakim bicara dalam kes-kes ini mengambil pendekatan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa walaupun tiada peruntukan jelas (no express provision).

Mahkamah Sivil cuba menyelesaikan konflik pertindihan bidang kuasa dalam kes Soon Singh lwn PERKIM [1999] 1 MLJ 489 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam mendengar kes murtad. Ini kerana, bidang kuasa tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah walaupun tiada peruntukan keluar Islam dalam Enakmen undang-undang Pentadbiran Agama Islam Kedah 1962. Bidang kuasa tersebut diberi kepada Mahkamah Syariah secara tersirat (implication).

Tetapi keputusan Soon Singh tidak dapat menyelesaikan masalah bidang kuasa sekiranya pihak-pihak terlibat adalah bukan Islam. Konflik ini akan berterusan kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap orang bukan Islam.

Ini dapat dilihat dalam kes Moorthy di mana isu bidang kuasa masih lagi menjadi perebutan. Keputusan oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa si mati (Moorthy) adalah seorang Islam semasa kematiannya telah dipertikaikan oleh balu si mati yang merupakan seorang bukan Islam di Mahkamah Tinggi Sivil. Hakim bicara “terpaksa” memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan adanya Pindaan 1988.

Tetapi balu si mati mempertikaikan platform mahkamah mana yang patut mendengar kes ini memandangkan beliau bukan seorang Islam. Beliau mempertikaikan bahawa tiada remidi baginya di Mahkamah Syariah. Beliau merayu ke Mahkamah Rayuan dan kes ini masih belum diputuskan.

Keputusan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia dll [1999] 2 MLJ 241; [1999] 1 MLJ 266 walaupun merupakan keputusan Mahkamah Persekutuan, tidak dapat meletakkan noktah pertindihan bidang kuasa. Keputusan kes ini yang menetapkan bahawa kedua-dua mahkamah, yakni Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar kes seumpama ini (liwat) telah membuat kedudukan Mahkamah Syariah lebih rendah (inferior). Ini jelas kerana hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah adalah terhad.

Tetapi amat malang sekali bagi Mahkamah Syariah yang nampaknya tidak mahu menggunakan bidang kuasa yang diberi walaupun secara tersirat. Ini dapat dilihat dalam kes Jumaaton dan Satu Lagi lwn Raja Hizaruddin [1998] 6 MLJ 556 di mana Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan enggan menggunakan bidang kuasa tersirat yang diberi dalam kes Mohamed Habibullah dan Soon Singh. Walaupun perkara berkaitan probate terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah hendaklah berani membuat keputusan yang melibatkan perkara-perkara meliputi pewarisan, harta berwasiat (testate) dan tak berwasiat (intestate) yang melibatkan orang Islam.

Pandangan Ahmad Fairuz yang menyatakan bahawa hakim-hakim Sivil hanya sekadar mengulas (obiter) dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam, kadang-kadang boleh membawa kepada keresahan umat Islam memandangkan tidak semua hakim Sivil mempunyai kepakaran dalam perkara-perkara berkaitan dengan undang-undang Islam.

Sebagai contohnya, dalam kes Meor Atiqurrahman bin Ishak dll lwn Fatimah bte Sihi dll [Permohonan Sivil No. 01-3-2005 (N) Mahkamah Persekutuan, 12 Julai 2006] Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman bertulis menyatakan bahawa pemakaian serban oleh tiga murid sekolah semasa waktu persekolahan adalah berlawanan dengan peraturan sekolah, yang tidak membenarkan pemakaiannya.

Tetapi hakim berkenaan (dengan penuh hormat) telah melampaui batasan apabila membicarakan isu serban dari ajaran Islam, di mana pada pandangan penulis Hakim berkenaan kurang pengetahuan yang mendalam mengenainya. Penghakimannya cukup bagus kecuali cacat dari aspek tersebut. Cukuplah baginya membuat kesimpulan bahawa pemakaian serban itu melanggar peraturan sekolah dan tidak berlawanan dari peruntukan Perkara 11 (1) hak kebebasan beragama. Beliau tidak perlu mengaitkan serban dan Nabi Muhammad s.a.w. serta perbandingan (analogy) yang kurang tepat seperti menaiki unta, membina rumah dan masjid dari tanah liat dan sebagainya.

Kesimpulan

Persoalan Mahkamah mana yang mempunyai kuasa bagi menafsir dan menentukan bidang kuasa terletak secara eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah berjalan secara serentak (parrallel) memang betul, tetapi kuasa dan bidang kuasa siapa yang lebih besar? Sudah tentu jawapannya ialah Mahkamah Sivil.

Mahkamah Syariah hanyalah diberi kuasa dan bidang kuasa yang terhad sebagaimana dalam Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri, dan menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 1984) iaitu hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak lebih dari RM5,000 atau sebatan enam kali atau gabungan semua hukuman tersebut.

Kesimpulannya, Mahkamah Sivil masih lagi campur tangan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini jelas kerana, Mahkamah Sivil lebih dominan dan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi (superior), manakala Mahkamah Syariah adalah sebuah mahkamah yang lebih rendah kedudukannya (secondary and inferior).

Secara perbezaan, Mahkamah Syariah hanya akan mendengar kes-kes terletak di bawah bidang kuasanya yang terhad, manakala Mahkamah Sivil mempunyai kuasa yang lebih luas dan justeru itu kadang-kadang melangkaui sempadan. Pertarungan ini masih berterusan selagi mana Malaysia mempunyai dua sistem mahkamah. Maka hendaklah pihak-pihak berwajib memikir bagaimana “menyatukan” mereka demi keadilan semua.

Langkah awal yang boleh dilakukan ialah menempatkan hakim Sivil dan Syariah di Mahkamah Sivil bagi menghakimi kes-kes yang melibatkan pertikaian bidang kuasa. Ini kerana, kedudukan Malaysia yang menyaksikan pelbagai etnik dan agama tidak memungkinkan pemisahan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berkekalan, kalau mahu remidi dan keadilan dikecapi oleh semua.

Monday, March 15, 2010

Baju Kebangsaan



Sebagai seorang yang tebal dengan sifat kebangsaan mempunyai jati diri, saya terus menerus mengekalkan sifat kemelayuan saya melalui pengumpulan baju melayu. Ye, semua 8 pasang baju di atas merupakan baju-baju melayu saya atau diistilahkan sebagai baju kebangsaan saya. Maaf, ada beberapa pasang tidak bergosok.

Saya gemarkan baju melayu cekak musang. Tidak pernah dalam seumur hidup saya mempunyai baju melayu kurung potongan kolar ala johor. Saya juga tidak gemar baju melayu saya dimodenkan dengan potongan seperti berbutang penuh habis ke pusat, atau tidak berpesak. Baju melayu juga harus plain, bukan bercorak bunga-bunga ala Jaafar on atau berkotak-kotak ala 4U2C. Bagi saya juga, baju melayu lebih segak kalau berbutang 5. Cuma semasa kemangkatan Tuanku Jaafar, saya melihat kebanyakan kerabat Negeri Sembilan berbutang tiga. Agak menarik.

Baju melayu, maaf, baju kebangsaan adalah antara produk Malaysia yang tidak boleh diasosiasikan dengan Indonesia. Ia begitu unik, seksi dan cool. Namun saya belum pernah memakai baju kebangsaan untuk ke pejabat. Kecuali sekali semasa jamuan hari raya peringkat kementerian di mana saya menggantikan pembaca doa kementerian. Itu pun saya salin kepada baju kemeja selepas jamuan tamat.

Bukan kerana saya tidak berbangga dengan baju kebangsaan. Kalau saya tidak berbangga, takkanlah saya ada baju kebangsaan sampai 8 pasang. Saya pula adalah jenis manusia yang akan memakai baju kebangsaan lengkap bersampin sehingga senja pada hari raya pertama.

Baju kebangsaan, kebanggan kita!

Monday, March 1, 2010

Pembunuhan Karakter

Ada org suka mengomplen. Ada orang komplen dan bertanggungjawab dengan meletakkan nama mereka. Si pondan, mengomplen di sebalik nama anonymous. Tak kisahlah kalau lelaki ke perempuan ke, kalau baling batu sembunyi tangan, mengomplen tapi menyorok-nyorok, dia pondan.

Komplen biarlah pada perkara substan. Bukan pada karakter penulis. Mengomplen Shebby yang suka mengomplen game2 EPL sebab Shebby main bukannya best pun adalah tidak betul. Balaslah komplen Shebby dengan komplen berasas. Kalau orang komplen, masakan di kedai itu tidak sedap. Bukan kita balas, "balik masak lah sendiri". Kalau orang itu nak masak, dia akan masaklah. Jadi lelaki, atau perempuan, berdiri dan mengaku diri.

Selepas ini, komplen2 anonymous tidak akan dilayan. Sekian.