Friday, April 30, 2010

Jual Buku



Jumpa gambar ini dlm site Azwan Effendy. Kali terakhir berjumpa dia adalah semasa majlis perkahwinan beliau sebelum berangkat ke UK untuk sambung master in international law di University of Reading. Ada YDPA dan Permaisuri serta Juli Sudiro.

Itu gambar saya menjual buku-buku terbitan IKD dan campur-campur buku lain.

Kurus dan kacak kan?

Panduan Membeli Rumah (Siri 1)

Tidak sedikit orang bertanya saya mengenai membeli rumah. Tidaklah saya arif sangat tentang isu hartanah dan rumah, bukan juga seolah saya yang membuka daerah penempatan di Bandar Baru Bangi, tetapi sekadar berkongsi.

Situasi begini: anda anak orang biasa, bukanlah anak orang kaya sangat. biasa-biasa macam saya. gaji sekitar 2800-3500 sebulan. Anda mungkin bujang, atau berkahwin, pasangan anda bekerja kerajaan atau mungkin bekerja swasta. Anda bersemangat mahu membeli rumah, bina istana kayangan keluarga anda. Bagaimana ye?

Pertamanya, pastikan kadar kelayakan anda untuk membuat pinjaman perumahan iaitu anda mesti mempunyai baki bersih pendapatan sekurang-kurangnya 40% daripada gaji anda. Bagaimanapun ia berbeza bagi setiap institusi kewangan, ada yang 30% ada yang 55% dan macam2lah. Anda boleh kurangkan bayaran ansuran itu dengan menaikkan jumlah bayaran deposit rumah seperti dengan mengeluarkan kwsp ataupun apa2 cara lain seperti mintak duit mak ayah. Tapi cara yang kemudian itu tak macho la.

Tak paham?
Begini, katakan gaji anda 2000. Jadi kelayakan anda membuat pinjaman bagi rumah adalah RM1200 sebulan bagi bayaran ansuran rumah.

RM1200 sebulan? berapa pula harga rumah itu?
Dalam RM260k+-.

Perlu diingat bahawa kadar bersih ye. Tolaklah pinjaman yang telah dibuat terdahulu sekiranya ada, seperti pinjaman biaya kenderaan, atau pinjaman peribadi untuk perkahwinan atau baki tunggakan kad kredit. Ini tidaklah termasuk loan PTPTN ataupun loan along. Kalau anda berkahwin, bolehlah gabungkan dengan isteri, kalau bujang dengan adik beradik, atau penjamin dikalangan keluarga. Begitulah. Pastikan kelayakan anda, kemudian barulah target nak beli rumah apa.

OK, ada satu situasi. Kelayakan anda adalah sekadar 1000 sahaja. Tetapi ansuran pinjaman adalah 1100. Macam mana nak buat? Sama ada anda membuat sedikit bayaran kepada bankers yang berurusan dengan anda (cara ini tidak berintegriti), atau anda perlu meyakinkan bank bahawa anda dalam kerjaya yang stabil (kerajaan dan listed company amat berpeluang cerah) dan sudah tentu pendapatan anda akan bertambah seraya dengan kenaikan umur dan pengalaman. Lagipula, bayaran ansuran awal, sekalipun ditetapkan 1100 (misalnya), tidaklah bermula terus setinggi itu kerana bayaran dibuat berdasarkan progres kerja. Tak paham? skip part ini.

Huh, rumah atau tanah?

Rumah. Landed ataupun rumah lapis2? Bagaimana pula status leasehold dan freehold. Bagaimana dengan membeli rumah di Salak Tinggi, Pajam dan tempat-tempat digebangkan akan membangun?

Tentulah rumah atas tanah lebih baik. Tentulah status freehold lebih baik. Tentulah tempat2 itu akan membangun. Tetapi, fikir secara rasional, timbang baik dan buruknya, lebih dan kurangnya.

Kebanyakkan rumah landed yang baru2 adalah sangat mahal dewasa ini. I&P anak Syarikat PNB sewaktu melancarkan Fasa Pertama rumah 2 tingkat di New Township di Bandar Baru Bangi belakang stesen komuter UKM pada tahun 2007 dengan harga RM260k. 2 tahun kemudian harga bagi fasa ke4 melonjak sehingga RM460K. Mengarut. Ia harga sebuah rumah link 2 tingkat! Jadi, kalau anda mampu, apa salahnya. Atau anda boleh bersabar menanti kot-kot adalah rumah baru yang harganya munasabah. Harapan ini tipis tapi tidak mustahil. I&P adalah pemaju tersohor dan bereputasi tinggi sebab itu dia suka-suka main harga sampai tak tercapai akalku. Bersabar, penantian anda mungkin berbaloi. Contohnya baru-baru ini PKNS dengankerjasama pemaju biasa-biasa aje melancarkan rumah link 2 tingkat di Seksyen 4 dengan harga RM300k. Agak menarik, tetapi tentulah ada kekurangan-kekurangan lain yang tidak akan dibincangkan disini. Tetapi menanti harga rumah baruyang murah memang tipislah, sebab rumah makin lama makin naik, melainkan tiba2 ada kegawatan ekonomi, or dilanda banjir dan sebagainya. Sekali lagi, mampu, belilah. Tidak ada salahnya.

Bagaimana pula dengan rumah lapis2 seperti kondo, apartment, dan flat. Kebaikan rumah2 seperti ini ialah ruang privasi seperti orang2 kaya menyimpan perempuan simpanan, kawalan keselamatan dan kemudahan rekreasi lain seperti kolam, gym dll. Keburukannya ialah nanti anak jatuhla, kena parking kereta kat luar, sedara susah nak datang, kalau shopping kat tesco barang banyak susah nak angkat, lif rosak, ampaian takde dll. Ada yang mengatakan kondo, apartment boleh dijadikan investment. Mana2 rumah adalah investment. Persoalannya menguntungkan atau tidak. Anda boleh jadikan rumah itu sebagai rumah sewa tetapi untuk menjual kembali biasanya margin keuntungan tidak akan besar. Melainkan anda membeli kondo di hartamas, kiara atau tiba2 ada nak buat station lrt sebelah kondo anda. Kalau tidak, biasanya subsale utk rumah kondo agak perlahan dan tidaklah begitu menguntungkan sangat. Untung, tapi tak besar.

Bagaimanapun membeli kondo atau apartment adalah tindakan yang baik. Tentulah membeli landed property lebih baik. Tetapi dewasa ini kondo/apartment secara relatifnya mampu dimiliki oleh kita2. Sungguhpun begitu, janganlah berasa selesa, sebaliknya tanamlah keazaman untuk memiliki pula rumah atas tanah untuk pembesaran keluarga yang sihat dan bahagia.

Leasehold atau freehold? Freehold adalah bebas sampai kiamatlah anda punya, leasehold 99 tahun lepas tu kerajaan negeri boleh ambil. Kebaikan freehold ialah ia pegangan bebas, boleh jual ikut sukalah dan bank pun senang untuk membiyai pembeli. Manakala leasehold pula adalah pajakan. Adakah kita akan hidup sehingga 99 tahun? mungkin tetapi kita sudah terlalu tua. Tetapi mungkin kita mahu anak cucu kita mewarisinya. Nanti kerajaan negeri pakatan pembangkang akan rampas. Sedihlah kita. Menjadi pelarian di tanah sendiri.

Tidak begitu. Janganlah risau sangat. Adalah satu tindakan tidak bijak dan tidak tepat dari sudut politik untuk mengambil balik tanah yang sudah dipajak. Biasanya Kerajaan Negeri akan melanjutkan tempoh pemajakan, mungkin sampai tempoh yang tak masuk akal seperti 999 tahun dan anda (masa itu anak cucu andalah) perlu membayar sedikit premium. Tahukah anda ada tempoh pemajakan tidak masuk akal iaitu sehingga ada bulan dan matahari. Ye, kalau anda ke Kuala Terengganu, lawatlah pekan cina di bandar KT. Pekan itu dipajakkan kepada peniaga2 disitu bagi satu tempoh selagi ada matahari, bulan dan bintang. Keburukan yang lain ialah sukar untuk anda membuat pajakan di bank atau menjual kepada pihak lain setelah tempoh pajakan mencapai lebih 30 tahun. Kebanyakkan tanah-tanah yang dimajukan adalah bersifat leasehold.

Mahalnya rumah2 ini, beli kat Salak Tinggi la, Dengkil lah. Lalu golongan pemodal-pemodal mula memasang nama2 plastik seperti Putra Dengkil, Salak Height agar nama2 ini kelihatan inggeris dan cantiklah sikit nak tulis alamat. Ini semua plastik. Bandar Baru Bangi yang mempunyai universiti utama negara dan kilang-kilang multinasional dan internasional pun mengambil masa lebih 30 tahun untuk kelihatan seperti hari ini. Itupun setelah didorong oleh Putrajaya dan KLIA. Lihatlah apa yang terjadi di Bukit Beruntung, Rawang dan Serendah. Spekulasi tidak akan menaikkan nilai hartanah. Hartanah akan meningkat apabila didorong oleh kegiatan ekonomi, kemudahan sosial dan infrastruktur lengkap. Lihat apa yang berlaku di Bandar Bukit Mahkota. Pemajunya bukan calang2 tetapi tanya sekolah menengah dan banks, ia jadi seperti dead city. Berhati-hati dan jangan terpengaruh dengan air liur penjual dengan segala macam bayangan utopia city mendatang. Kelak, anda akan duduk di perumahan bosan dan jauh untuk ke tesco. Tetapi rumah-rumah ini murahlah.

Jadi itulah serba sedikit mengenai membeli rumah. Siri akan datang akan membincangkan:

1) Beli tanah untuk bina banglo
2) Rumah lot tepi atau semi d?
3) Rumah subsale/lelong
4) Perumahan di Bandar Baru Bangi.

Tuesday, April 27, 2010

Karipap-Karipap Cinta



Usai peperiksaan lalu (bukan p*tk) saya membaca novel ini. Ini bukan novel tipikal lambakan pasaran macam novel Ku Kunci Pintu Hatimu, atau novel-novel cinta khayalan seperti Bayangan Rindu. Itu semua novel yang melelahkan.

Karipap-Karipap Cinta (KKC) sebuah novel ringan. Namun ada diselit sindiran. Membaca novel ini seakan menonton filem. Agak islamis namun tidak langsung ekstremis. Nazri atau blogger vovin adalah anggota kumpulan SIndiket Soljah yang memang saya kagumi dan ikuti mereka ini.

Selamat membaca!

Friday, April 23, 2010

Bebas

Bebas juga ye kome.

Kenapa saya tak terkejut? hikhikhik.

Mahkamah Syariah, come on la ambil tindakan. Dah ada pengakuan dah. Slow betul!

Thursday, April 22, 2010

P94



Gambar di atas menunjukkan calon Parti YWNWA berbaju merah sedang menghirup cendol bersama dengan calon Parti X. Perbezaan kaum dan agama tidak menghalang kedua-dua calon menghirup cendol enak di Pekan Kuala Kubu Baru di bawah kaki bukit Pejabat Daerah Hulu Selangor. Disebelah kanan calon Parti YWNWA adalah bekas ADO Hulu Selangor, sebelah dia ADO Kuala Langat. Manakala di sebelah kiri calon Parti X adalah Tuan Guru Zulkifli Osman dan ADO Sabak Bernam.

Untuk kempen PRK kali ini, calon Parti YWNWA turut bersama anggota bomba cuba memadamkan api perkauman

Sunday, April 18, 2010

Menunggu Kata Dari Tuhan

Setelah lama mendengar perkhabaran tentang Teater Dalam Surau, akhirnya ia singgah juga di Surau An Nur dekat dengan rumah hari Sabtu lepas. Sejak dipersembahkan dihadapan Sultan Kelantan dan Menteri Besar, persembahan teater kali ini adalah yang ke 35, dan paling menarik gesekan biola dalam surau menggantikan ketukan gendang mengiringi ucapan dialog.



Menunggu Kata Dari Tuhan

Arahan Seniman Dinsman. Lakonan solo oleh Sabri Yunus diiringi petikan biola oleh Sani Sudin. Menggetarkan dan meruntun jiwa. Kisah bagaimana Kaab bin Malik, sahabat Nabi yang tertinggal daripada mengikut rombongan perang Rasulullah untuk perang Tabuk. Madinah yang sedang berpesta dengan musim buah yang ranum, namun tidaklah melekakan Kaab daripada membuat persiapan mengikut perang. Sebelum ini belum pernah beliau tidak mengikut perang Rasul kecuali perang Badar. Perang yang pertama.

Entah dimana silapnya Kaab tertinggal. Tertinggal di Kota Mekah bersama anak-anak kecil, perempuan dan orang tua. Ada juga seorang dua sahabat seperti Hilal bin Umayyah, namun Hilal pun lelaki tua. Balik Rasul, berjumpa sekalian yang tertinggal menghadap Rasul, mencipta pelbagai alasan dan cereka. Kaab tidak mahu mengelak, Kaab berkata benar. Natijahnya, Kaab dipulau Rasul dan seluruh sahabat.

50 hari. Hingga turun ayat 118 Surah Taubah.

Friday, April 16, 2010

Nooraini binti M. Abdul Majid Lwn Pendakwa Syarie Negeri Melaka JH (2003) 16 (2) 117

Nooraini binti M. Abdul Majid
Lwn
Pendakwa Syarie Negeri Melaka
JH (2003) 16 (2) 117

1.0 Ringkasan Fakta Kes
Perayu Nooaraini Binti M. Abdul Majid telah mengaku bersalah di atas pertuduhan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu didapati hamil atau melahirkan anak di luar nikah.. Perayu telah dijatuhkan hukuman denda RM3000 dan jika tidak membayar denda penjara 24 bulan. Pensabitan atas dakwaan ini adalah berdasarkan pengakuan oleh tertuduh dan oleh pendakwa tidak perlu membuktikan kes. Seterusnya, perayu membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka supaya hukuman penjara 24 bulan yang dijatuhkan diketepikan dan perayu memohon dikenakan denda sahaja.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah memutukan:
a) Rayuan Perayu dibenarkan.
b) Perintah Hakim Bicara diketepikan berkaitan dengan hukuman penjara.
c) Mengesahkan sabitan berkaitan hukuman denda sahaja tanpa apa-apa amaran keras.


2.0 Ulasan Kes
Di dalam alasan penghakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah menyatakan beberapa faktor-faktor kehakiman Mahkamah Rendah yang telah diambil kira dalam memutuskan rayuan perayu antaranya kegagalan memberi peluang dan ruang yang secukupnya untuk mendapat nasihat perundangan, menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa, kegagalan menilai pengakuan bersalah secara sukarela, kegagalan menentukan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kegagalan memberi pertimbangan rayuan dan faktor-faktor kehakiman dengan menjatuhkan hukuman yang maksimum.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan akademik, penulis akan menghuraikan isu berkaitan iqrar atau pengakuan perayu bersabit kes di atas yang mana tertumpu kepada isu Hakim menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa dan kegagalan Hakim menilai pengakuan bersalah secara sukarela.

Di dalam kes ini, pengakuan bersalah telah direkodkan pada hari pertama sebutan. Dalam nota bicara didapati Hakim telah beberapa kali menyoal perayu berkenaan pengakuan bersalah iaitu sama ada beliau faham pertuduhan yang dibaca, mengaku bersalah atau tidak, tahu akibat pengakuan bersalah, faham atau tidak peruntukan undang-undang yang dibaca, menyoal kembali perayu untuk mengaku atau tidak dan bertanya pengakuan perayu sekali lagi. Kesemuanya sebanyak enam kali dan perayu masih mengekalkan jawapan mengaku bersalah atas pertuduhan.
Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat Hakim Bicara tidak terlalu tergesa-gesa dalam mendapatkan pengakuan bersalah perayu. Tetapi Hakim berpendapat lebih baik masa yang panjang diberikan sebelum merekodkan pengakuan kerana kemungkinan perayu akan menukarkan pengakuan bersalahnya sekiranya Hakim Bicara menangguhkan hukuman pada hari lain.

3.0 Komen
Salah satu syarat kebolehterimaan iqrar atau pengakuan adalah iqrar hendaklah dibuat secara sukarela . Berdasarkan fakta kes, sekalipun pengakuan direkodkan dalam satu masa, ia tidaklah bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Isu pengakuan secara sukarela telah dibincangkan dalam kes Mokhtar Pangat lwn Pendakwa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan . Dalam kes tersebut, isu yang timbul ialah sama ada pengakuan boleh diterima dan sama ada tertuduh benar-benar memahami pertuduhan sebelum membuat pengakuan. Hakim dalam kes Mokhtar Pangat memutuskan bahawa:
a) Pengakuan hendaklah dibuat dengan penuh kesedaran dan sukarela.
b) Hakim hendaklah menyoal balas pengakuan tertuduh untuk memastikan pengakuan dibuat secara sukarela dan tertuduh benar-benar melakukan kesalahan tersebut.
Perkara yang sama boleh juga dilihat dalam kes Muhamad Amin lwn The State di mana dalam kes tersebut tertuduh telah membuat pengakuan dihadapan magistret tetapi kemudiannya menarik balik pengakuan semasa perbicaraan dan mendakwa pengakuan terpaksa dilakukan kerana telah dipukul oleh polis. Hakim membatalkan hukuman kerana pengakuan telah ditarik sebelum pelaksanaan hukuman.
Berdasarkan kes-kes di atas dan prinsip iqrar secara sukarela, pensabitan hukuman ke atas perayu adalah betul dan boleh diterima untuk pensabitan. Walau bagaimanapun, penulis besetuju dengan pendapat Hakim Mahkamah Tinggi agar masa diberikan kepada perayu sekurang-kurangnya untuk satu lagi tarikh sebutan baru sebelum menjatuhkan hukuman. Ini sekaligus membolehkan perayu untuk memikirkan semula sama ada benar-benar mahu membuat pengakuan ataupun perayu boleh melantik peguam dalam memberi nasihat berkenaan pengakuan yang akan dibuat. Dalam kes Maiz, Ibnu Al Qayyim dan Al Qurtubi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW hanya menjatuhkan hukuman ke atas Maiz atas pengakuan bersalahnya setelah menyoal balas pengakuan dan memastikan pengakuan itu benar-benar secara sukarela. Begitu juga dalam kes Al Ghamidiyyah di mana Nabi Muhammad memutuskan hukuman ke atas wanita yang mengaku berzina setelah pengakuan yang sama tetap dibuat walaupun dalam empat keadaan berbeza iaitu setelah wanita itu bersalin, setelah anaknya berhenti menyusu dan setelah ada penjaga terhadap anaknya.

4.0 Kesimpulan
Pengakuan adalah salah satu kaedah dalam membuktikan sesuatu pertuduhan. Seringkali kes-kes mahkamah syariah diputuskan hanya melalui pengakuan tertuduh dan bukan melalui pembuktian melalui keterangan dan perbicaraan. Oleh yang demikian, prinsip-prinsip keadilan dalam menerima iqrar atau pengakuan harus dipatuhi malah mahkamah harus melihat kecenderungan pensabitan melalui pengakuan sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian. Tertuduh perlu benar-benar faham mengenai iqrar dan diberi keterangan lanjut mengenai kesan dan akibat iqrar yang dibuat. Terdapat tertuduh yang tidak faham mengenai iqrar dan melakukan untuk mempercepatkan proses mahkamah dan mengharap agar diberi hukuman ringan. Dalam kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn Pendakwa Syarie Pulau Pinang tertuduh menganggap rayuan sebagai menarik balik pertuduhan tetapi Mahkamah memutuskan bahawa pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tidak ada apa-apa silap atau kecacatan dalam pensabitan. Maka mahkamah harus melihat isu ini sebagai perkara pokok dalam menentukan kebolehterimaan pengakuan atau iqrar dan seterusnya menjelaskan bahawa beban pembuktian sesuatu pertuduhan tidak semestinya hanya berdasarkan pengakuan, sebaliknya juga boleh melalui pembuktian keterangan.