Wednesday, June 30, 2010

Idealis, datanglah dan jangan pergi (lagi)

Entah kenapa kalau diwaktu muda tentu ramai yang jadi idealis. Mahu bantu orang susah. Kalau ambil medic, mahu rawat percuma orang-orang gelandangan. Kalau bercita-cita bisnes, mahu bisnes bersih dan keuntungan mahu bantu orang susah. Kalau ambil undang-undang mahu bela orang-orang teraniaya.

Idealis. Apa ia untuk orang muda sahaja?

Lalu bila meningkat usia, dengan kerjaya yang merantai jasad tanpa sedar melemahkan jiwa dan cita-cita asal manusia. Lihat sahaja sahabat nabi yang asalnya miskin, mohon dimurahkan rezeki sampai akhir sibuk dengan biri-birinya hingga lupa membayar zakat. Lihat Tanggang segan mengakui ibunya, yang mengendong dalam perut 9 bulan nan memanjang, meneran segenap tenaga untuknya bernyawa.

Apa jadi selepas kita meningkat usia? Selesa barangkali. Takut? Mungkin juga.

Atau kita ini hanya tahu bercakap?

Sunday, June 13, 2010

World Cup

Blog digantung sementara World Cup.

Pasukan pilihan: Holland dan Spain.

Sunday, May 16, 2010

Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu

Selamat hari mama kepada mama saya, terima kasih kerana melahir dan membesarkan saya hingga menjadi seperti hari ini. Tak minum arak, tak hisap dadah, ada lesen kereta, ada kerja, sihat dan ceria.

Kepada bonda-bonda, ibu-ibu, emak-emak, mama-mama, umi-umi, mak-mak, mummy-mummy anda, atau anda sendiri adalah seperti yang saya sebut, atau anda bakal, hari-hari adalah hari kalian. Cuma hari ini istimewa.

Syurga di bawah tapak kaki ibu.

Syurga isteri di tapak kaki suami.

Jadi syurga anak-anak, di bawah tapak kaki ibu yang di bawah tapak kaki bapak. hehehe

Friday, May 7, 2010

Masih

Apa pun khabar angin, harap jangan percaya. Saya masih lagi bersama kerajaan. Terdapat desas desus saya tidak mengambil exam PTK kerana saya tidak lagi mahu bersama kerajaan. Saya nafi dan tegaskan bahawa, setakat hari ini saya masih bersama kerajaan.

Masih.

Friday, April 30, 2010

Jual Buku



Jumpa gambar ini dlm site Azwan Effendy. Kali terakhir berjumpa dia adalah semasa majlis perkahwinan beliau sebelum berangkat ke UK untuk sambung master in international law di University of Reading. Ada YDPA dan Permaisuri serta Juli Sudiro.

Itu gambar saya menjual buku-buku terbitan IKD dan campur-campur buku lain.

Kurus dan kacak kan?

Panduan Membeli Rumah (Siri 1)

Tidak sedikit orang bertanya saya mengenai membeli rumah. Tidaklah saya arif sangat tentang isu hartanah dan rumah, bukan juga seolah saya yang membuka daerah penempatan di Bandar Baru Bangi, tetapi sekadar berkongsi.

Situasi begini: anda anak orang biasa, bukanlah anak orang kaya sangat. biasa-biasa macam saya. gaji sekitar 2800-3500 sebulan. Anda mungkin bujang, atau berkahwin, pasangan anda bekerja kerajaan atau mungkin bekerja swasta. Anda bersemangat mahu membeli rumah, bina istana kayangan keluarga anda. Bagaimana ye?

Pertamanya, pastikan kadar kelayakan anda untuk membuat pinjaman perumahan iaitu anda mesti mempunyai baki bersih pendapatan sekurang-kurangnya 40% daripada gaji anda. Bagaimanapun ia berbeza bagi setiap institusi kewangan, ada yang 30% ada yang 55% dan macam2lah. Anda boleh kurangkan bayaran ansuran itu dengan menaikkan jumlah bayaran deposit rumah seperti dengan mengeluarkan kwsp ataupun apa2 cara lain seperti mintak duit mak ayah. Tapi cara yang kemudian itu tak macho la.

Tak paham?
Begini, katakan gaji anda 2000. Jadi kelayakan anda membuat pinjaman bagi rumah adalah RM1200 sebulan bagi bayaran ansuran rumah.

RM1200 sebulan? berapa pula harga rumah itu?
Dalam RM260k+-.

Perlu diingat bahawa kadar bersih ye. Tolaklah pinjaman yang telah dibuat terdahulu sekiranya ada, seperti pinjaman biaya kenderaan, atau pinjaman peribadi untuk perkahwinan atau baki tunggakan kad kredit. Ini tidaklah termasuk loan PTPTN ataupun loan along. Kalau anda berkahwin, bolehlah gabungkan dengan isteri, kalau bujang dengan adik beradik, atau penjamin dikalangan keluarga. Begitulah. Pastikan kelayakan anda, kemudian barulah target nak beli rumah apa.

OK, ada satu situasi. Kelayakan anda adalah sekadar 1000 sahaja. Tetapi ansuran pinjaman adalah 1100. Macam mana nak buat? Sama ada anda membuat sedikit bayaran kepada bankers yang berurusan dengan anda (cara ini tidak berintegriti), atau anda perlu meyakinkan bank bahawa anda dalam kerjaya yang stabil (kerajaan dan listed company amat berpeluang cerah) dan sudah tentu pendapatan anda akan bertambah seraya dengan kenaikan umur dan pengalaman. Lagipula, bayaran ansuran awal, sekalipun ditetapkan 1100 (misalnya), tidaklah bermula terus setinggi itu kerana bayaran dibuat berdasarkan progres kerja. Tak paham? skip part ini.

Huh, rumah atau tanah?

Rumah. Landed ataupun rumah lapis2? Bagaimana pula status leasehold dan freehold. Bagaimana dengan membeli rumah di Salak Tinggi, Pajam dan tempat-tempat digebangkan akan membangun?

Tentulah rumah atas tanah lebih baik. Tentulah status freehold lebih baik. Tentulah tempat2 itu akan membangun. Tetapi, fikir secara rasional, timbang baik dan buruknya, lebih dan kurangnya.

Kebanyakkan rumah landed yang baru2 adalah sangat mahal dewasa ini. I&P anak Syarikat PNB sewaktu melancarkan Fasa Pertama rumah 2 tingkat di New Township di Bandar Baru Bangi belakang stesen komuter UKM pada tahun 2007 dengan harga RM260k. 2 tahun kemudian harga bagi fasa ke4 melonjak sehingga RM460K. Mengarut. Ia harga sebuah rumah link 2 tingkat! Jadi, kalau anda mampu, apa salahnya. Atau anda boleh bersabar menanti kot-kot adalah rumah baru yang harganya munasabah. Harapan ini tipis tapi tidak mustahil. I&P adalah pemaju tersohor dan bereputasi tinggi sebab itu dia suka-suka main harga sampai tak tercapai akalku. Bersabar, penantian anda mungkin berbaloi. Contohnya baru-baru ini PKNS dengankerjasama pemaju biasa-biasa aje melancarkan rumah link 2 tingkat di Seksyen 4 dengan harga RM300k. Agak menarik, tetapi tentulah ada kekurangan-kekurangan lain yang tidak akan dibincangkan disini. Tetapi menanti harga rumah baruyang murah memang tipislah, sebab rumah makin lama makin naik, melainkan tiba2 ada kegawatan ekonomi, or dilanda banjir dan sebagainya. Sekali lagi, mampu, belilah. Tidak ada salahnya.

Bagaimana pula dengan rumah lapis2 seperti kondo, apartment, dan flat. Kebaikan rumah2 seperti ini ialah ruang privasi seperti orang2 kaya menyimpan perempuan simpanan, kawalan keselamatan dan kemudahan rekreasi lain seperti kolam, gym dll. Keburukannya ialah nanti anak jatuhla, kena parking kereta kat luar, sedara susah nak datang, kalau shopping kat tesco barang banyak susah nak angkat, lif rosak, ampaian takde dll. Ada yang mengatakan kondo, apartment boleh dijadikan investment. Mana2 rumah adalah investment. Persoalannya menguntungkan atau tidak. Anda boleh jadikan rumah itu sebagai rumah sewa tetapi untuk menjual kembali biasanya margin keuntungan tidak akan besar. Melainkan anda membeli kondo di hartamas, kiara atau tiba2 ada nak buat station lrt sebelah kondo anda. Kalau tidak, biasanya subsale utk rumah kondo agak perlahan dan tidaklah begitu menguntungkan sangat. Untung, tapi tak besar.

Bagaimanapun membeli kondo atau apartment adalah tindakan yang baik. Tentulah membeli landed property lebih baik. Tetapi dewasa ini kondo/apartment secara relatifnya mampu dimiliki oleh kita2. Sungguhpun begitu, janganlah berasa selesa, sebaliknya tanamlah keazaman untuk memiliki pula rumah atas tanah untuk pembesaran keluarga yang sihat dan bahagia.

Leasehold atau freehold? Freehold adalah bebas sampai kiamatlah anda punya, leasehold 99 tahun lepas tu kerajaan negeri boleh ambil. Kebaikan freehold ialah ia pegangan bebas, boleh jual ikut sukalah dan bank pun senang untuk membiyai pembeli. Manakala leasehold pula adalah pajakan. Adakah kita akan hidup sehingga 99 tahun? mungkin tetapi kita sudah terlalu tua. Tetapi mungkin kita mahu anak cucu kita mewarisinya. Nanti kerajaan negeri pakatan pembangkang akan rampas. Sedihlah kita. Menjadi pelarian di tanah sendiri.

Tidak begitu. Janganlah risau sangat. Adalah satu tindakan tidak bijak dan tidak tepat dari sudut politik untuk mengambil balik tanah yang sudah dipajak. Biasanya Kerajaan Negeri akan melanjutkan tempoh pemajakan, mungkin sampai tempoh yang tak masuk akal seperti 999 tahun dan anda (masa itu anak cucu andalah) perlu membayar sedikit premium. Tahukah anda ada tempoh pemajakan tidak masuk akal iaitu sehingga ada bulan dan matahari. Ye, kalau anda ke Kuala Terengganu, lawatlah pekan cina di bandar KT. Pekan itu dipajakkan kepada peniaga2 disitu bagi satu tempoh selagi ada matahari, bulan dan bintang. Keburukan yang lain ialah sukar untuk anda membuat pajakan di bank atau menjual kepada pihak lain setelah tempoh pajakan mencapai lebih 30 tahun. Kebanyakkan tanah-tanah yang dimajukan adalah bersifat leasehold.

Mahalnya rumah2 ini, beli kat Salak Tinggi la, Dengkil lah. Lalu golongan pemodal-pemodal mula memasang nama2 plastik seperti Putra Dengkil, Salak Height agar nama2 ini kelihatan inggeris dan cantiklah sikit nak tulis alamat. Ini semua plastik. Bandar Baru Bangi yang mempunyai universiti utama negara dan kilang-kilang multinasional dan internasional pun mengambil masa lebih 30 tahun untuk kelihatan seperti hari ini. Itupun setelah didorong oleh Putrajaya dan KLIA. Lihatlah apa yang terjadi di Bukit Beruntung, Rawang dan Serendah. Spekulasi tidak akan menaikkan nilai hartanah. Hartanah akan meningkat apabila didorong oleh kegiatan ekonomi, kemudahan sosial dan infrastruktur lengkap. Lihat apa yang berlaku di Bandar Bukit Mahkota. Pemajunya bukan calang2 tetapi tanya sekolah menengah dan banks, ia jadi seperti dead city. Berhati-hati dan jangan terpengaruh dengan air liur penjual dengan segala macam bayangan utopia city mendatang. Kelak, anda akan duduk di perumahan bosan dan jauh untuk ke tesco. Tetapi rumah-rumah ini murahlah.

Jadi itulah serba sedikit mengenai membeli rumah. Siri akan datang akan membincangkan:

1) Beli tanah untuk bina banglo
2) Rumah lot tepi atau semi d?
3) Rumah subsale/lelong
4) Perumahan di Bandar Baru Bangi.

Tuesday, April 27, 2010

Karipap-Karipap Cinta



Usai peperiksaan lalu (bukan p*tk) saya membaca novel ini. Ini bukan novel tipikal lambakan pasaran macam novel Ku Kunci Pintu Hatimu, atau novel-novel cinta khayalan seperti Bayangan Rindu. Itu semua novel yang melelahkan.

Karipap-Karipap Cinta (KKC) sebuah novel ringan. Namun ada diselit sindiran. Membaca novel ini seakan menonton filem. Agak islamis namun tidak langsung ekstremis. Nazri atau blogger vovin adalah anggota kumpulan SIndiket Soljah yang memang saya kagumi dan ikuti mereka ini.

Selamat membaca!

Friday, April 23, 2010

Bebas

Bebas juga ye kome.

Kenapa saya tak terkejut? hikhikhik.

Mahkamah Syariah, come on la ambil tindakan. Dah ada pengakuan dah. Slow betul!

Thursday, April 22, 2010

P94



Gambar di atas menunjukkan calon Parti YWNWA berbaju merah sedang menghirup cendol bersama dengan calon Parti X. Perbezaan kaum dan agama tidak menghalang kedua-dua calon menghirup cendol enak di Pekan Kuala Kubu Baru di bawah kaki bukit Pejabat Daerah Hulu Selangor. Disebelah kanan calon Parti YWNWA adalah bekas ADO Hulu Selangor, sebelah dia ADO Kuala Langat. Manakala di sebelah kiri calon Parti X adalah Tuan Guru Zulkifli Osman dan ADO Sabak Bernam.

Untuk kempen PRK kali ini, calon Parti YWNWA turut bersama anggota bomba cuba memadamkan api perkauman

Sunday, April 18, 2010

Menunggu Kata Dari Tuhan

Setelah lama mendengar perkhabaran tentang Teater Dalam Surau, akhirnya ia singgah juga di Surau An Nur dekat dengan rumah hari Sabtu lepas. Sejak dipersembahkan dihadapan Sultan Kelantan dan Menteri Besar, persembahan teater kali ini adalah yang ke 35, dan paling menarik gesekan biola dalam surau menggantikan ketukan gendang mengiringi ucapan dialog.



Menunggu Kata Dari Tuhan

Arahan Seniman Dinsman. Lakonan solo oleh Sabri Yunus diiringi petikan biola oleh Sani Sudin. Menggetarkan dan meruntun jiwa. Kisah bagaimana Kaab bin Malik, sahabat Nabi yang tertinggal daripada mengikut rombongan perang Rasulullah untuk perang Tabuk. Madinah yang sedang berpesta dengan musim buah yang ranum, namun tidaklah melekakan Kaab daripada membuat persiapan mengikut perang. Sebelum ini belum pernah beliau tidak mengikut perang Rasul kecuali perang Badar. Perang yang pertama.

Entah dimana silapnya Kaab tertinggal. Tertinggal di Kota Mekah bersama anak-anak kecil, perempuan dan orang tua. Ada juga seorang dua sahabat seperti Hilal bin Umayyah, namun Hilal pun lelaki tua. Balik Rasul, berjumpa sekalian yang tertinggal menghadap Rasul, mencipta pelbagai alasan dan cereka. Kaab tidak mahu mengelak, Kaab berkata benar. Natijahnya, Kaab dipulau Rasul dan seluruh sahabat.

50 hari. Hingga turun ayat 118 Surah Taubah.

Friday, April 16, 2010

Nooraini binti M. Abdul Majid Lwn Pendakwa Syarie Negeri Melaka JH (2003) 16 (2) 117

Nooraini binti M. Abdul Majid
Lwn
Pendakwa Syarie Negeri Melaka
JH (2003) 16 (2) 117

1.0 Ringkasan Fakta Kes
Perayu Nooaraini Binti M. Abdul Majid telah mengaku bersalah di atas pertuduhan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu didapati hamil atau melahirkan anak di luar nikah.. Perayu telah dijatuhkan hukuman denda RM3000 dan jika tidak membayar denda penjara 24 bulan. Pensabitan atas dakwaan ini adalah berdasarkan pengakuan oleh tertuduh dan oleh pendakwa tidak perlu membuktikan kes. Seterusnya, perayu membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka supaya hukuman penjara 24 bulan yang dijatuhkan diketepikan dan perayu memohon dikenakan denda sahaja.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah memutukan:
a) Rayuan Perayu dibenarkan.
b) Perintah Hakim Bicara diketepikan berkaitan dengan hukuman penjara.
c) Mengesahkan sabitan berkaitan hukuman denda sahaja tanpa apa-apa amaran keras.


2.0 Ulasan Kes
Di dalam alasan penghakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah menyatakan beberapa faktor-faktor kehakiman Mahkamah Rendah yang telah diambil kira dalam memutuskan rayuan perayu antaranya kegagalan memberi peluang dan ruang yang secukupnya untuk mendapat nasihat perundangan, menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa, kegagalan menilai pengakuan bersalah secara sukarela, kegagalan menentukan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kegagalan memberi pertimbangan rayuan dan faktor-faktor kehakiman dengan menjatuhkan hukuman yang maksimum.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan akademik, penulis akan menghuraikan isu berkaitan iqrar atau pengakuan perayu bersabit kes di atas yang mana tertumpu kepada isu Hakim menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa dan kegagalan Hakim menilai pengakuan bersalah secara sukarela.

Di dalam kes ini, pengakuan bersalah telah direkodkan pada hari pertama sebutan. Dalam nota bicara didapati Hakim telah beberapa kali menyoal perayu berkenaan pengakuan bersalah iaitu sama ada beliau faham pertuduhan yang dibaca, mengaku bersalah atau tidak, tahu akibat pengakuan bersalah, faham atau tidak peruntukan undang-undang yang dibaca, menyoal kembali perayu untuk mengaku atau tidak dan bertanya pengakuan perayu sekali lagi. Kesemuanya sebanyak enam kali dan perayu masih mengekalkan jawapan mengaku bersalah atas pertuduhan.
Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat Hakim Bicara tidak terlalu tergesa-gesa dalam mendapatkan pengakuan bersalah perayu. Tetapi Hakim berpendapat lebih baik masa yang panjang diberikan sebelum merekodkan pengakuan kerana kemungkinan perayu akan menukarkan pengakuan bersalahnya sekiranya Hakim Bicara menangguhkan hukuman pada hari lain.

3.0 Komen
Salah satu syarat kebolehterimaan iqrar atau pengakuan adalah iqrar hendaklah dibuat secara sukarela . Berdasarkan fakta kes, sekalipun pengakuan direkodkan dalam satu masa, ia tidaklah bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Isu pengakuan secara sukarela telah dibincangkan dalam kes Mokhtar Pangat lwn Pendakwa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan . Dalam kes tersebut, isu yang timbul ialah sama ada pengakuan boleh diterima dan sama ada tertuduh benar-benar memahami pertuduhan sebelum membuat pengakuan. Hakim dalam kes Mokhtar Pangat memutuskan bahawa:
a) Pengakuan hendaklah dibuat dengan penuh kesedaran dan sukarela.
b) Hakim hendaklah menyoal balas pengakuan tertuduh untuk memastikan pengakuan dibuat secara sukarela dan tertuduh benar-benar melakukan kesalahan tersebut.
Perkara yang sama boleh juga dilihat dalam kes Muhamad Amin lwn The State di mana dalam kes tersebut tertuduh telah membuat pengakuan dihadapan magistret tetapi kemudiannya menarik balik pengakuan semasa perbicaraan dan mendakwa pengakuan terpaksa dilakukan kerana telah dipukul oleh polis. Hakim membatalkan hukuman kerana pengakuan telah ditarik sebelum pelaksanaan hukuman.
Berdasarkan kes-kes di atas dan prinsip iqrar secara sukarela, pensabitan hukuman ke atas perayu adalah betul dan boleh diterima untuk pensabitan. Walau bagaimanapun, penulis besetuju dengan pendapat Hakim Mahkamah Tinggi agar masa diberikan kepada perayu sekurang-kurangnya untuk satu lagi tarikh sebutan baru sebelum menjatuhkan hukuman. Ini sekaligus membolehkan perayu untuk memikirkan semula sama ada benar-benar mahu membuat pengakuan ataupun perayu boleh melantik peguam dalam memberi nasihat berkenaan pengakuan yang akan dibuat. Dalam kes Maiz, Ibnu Al Qayyim dan Al Qurtubi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW hanya menjatuhkan hukuman ke atas Maiz atas pengakuan bersalahnya setelah menyoal balas pengakuan dan memastikan pengakuan itu benar-benar secara sukarela. Begitu juga dalam kes Al Ghamidiyyah di mana Nabi Muhammad memutuskan hukuman ke atas wanita yang mengaku berzina setelah pengakuan yang sama tetap dibuat walaupun dalam empat keadaan berbeza iaitu setelah wanita itu bersalin, setelah anaknya berhenti menyusu dan setelah ada penjaga terhadap anaknya.

4.0 Kesimpulan
Pengakuan adalah salah satu kaedah dalam membuktikan sesuatu pertuduhan. Seringkali kes-kes mahkamah syariah diputuskan hanya melalui pengakuan tertuduh dan bukan melalui pembuktian melalui keterangan dan perbicaraan. Oleh yang demikian, prinsip-prinsip keadilan dalam menerima iqrar atau pengakuan harus dipatuhi malah mahkamah harus melihat kecenderungan pensabitan melalui pengakuan sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian. Tertuduh perlu benar-benar faham mengenai iqrar dan diberi keterangan lanjut mengenai kesan dan akibat iqrar yang dibuat. Terdapat tertuduh yang tidak faham mengenai iqrar dan melakukan untuk mempercepatkan proses mahkamah dan mengharap agar diberi hukuman ringan. Dalam kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn Pendakwa Syarie Pulau Pinang tertuduh menganggap rayuan sebagai menarik balik pertuduhan tetapi Mahkamah memutuskan bahawa pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tidak ada apa-apa silap atau kecacatan dalam pensabitan. Maka mahkamah harus melihat isu ini sebagai perkara pokok dalam menentukan kebolehterimaan pengakuan atau iqrar dan seterusnya menjelaskan bahawa beban pembuktian sesuatu pertuduhan tidak semestinya hanya berdasarkan pengakuan, sebaliknya juga boleh melalui pembuktian keterangan.

Wednesday, April 14, 2010

Jambatan Kampung Ulu Selenge

Memang dah dijangkakan jambatan Kampung Ulu Selenge akan runtuh. Dah uzur sangat sampai penduduk kampung dah tak harap apa dah. Lagipun sejak pecah berita jambatan tu uzur menanti runtuh, dah mula nampak juak-juak kontraktor bersidai di tebing sungai mengukur panjang pendek jambatan baru kalau nak dibina.

Runtuh jambatan Kampung Ulu Selenge. Tok Selampit isytihar nak bina jambatan baru. Tender pun dibuka luas. Pakar Kontraktor Riuh awal-awal lagi dah pukul canang. Kata mereka, kita akan gunakan kayu yang paling baik. Kayu kuat, sohor, teguh dan dari Kelantan. Satu lagi, Syarikat Bina memang jadi pesaing kepada Pakar Kontraktor Riuh. Syarikat Bina mahu anak syarikat mereka, Menggapai Impian Consultant untuk masuk tender. Masalah mula timbul bila Ketua Jurutera Menggapai Impian Consultant mahu gunakan kayu tua dari India, tetapi ada juak-juak jurutera muda baru graduate cadangkan gunakan kayu muda. Pun dari India juga. Paling jadi masalah ialah ada anak Syarikat Bina yang lain Angkatan Pembinaan Consultant (APCO)yang rasa mereka lebih layak. Sebabnya Ketua Jurutera APCO lebih tahu keadaan bentuk muka bumi Kampung Ulu Selenge sebab dia anak watan situ. Isu selesai bila CEO Syarikat Bina putuskan tender akan dimasuki oleh Menggapai Impian Consultant. Sementara itu, ada jugaklah kontraktor-kontraktor bilis mahu cuba nasib buat jambatan baru Kampung Ulu Selenge.

Bersambung

Monday, April 12, 2010

Hulu Selangor, Penyapu dan Agenda Baru

Pilihanraya Kecil P94 kali ini agak signifikan. Tidak sedikit yang percaya bahawa peristiwa tsunami politik yang melanda Selangor punya kaitan dengan peristiwa pemberian penyapu kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor. Adalah yang melambangkan penyapu sebagai simbol kesialan, tidak kurang yang mengeluarkan teori yang kakitangan kerajaan negeri tidak puas hati dimalukan sedemikian rupa lalu memprotes.

Teori. Tiada susulan kajian statistik dan perangkaan data. Teori kekal teori. Yang nyata kerajaan negeri berubah.

Tuhan Maha Mengetahui. Disebalik yang tersurat mahupun yang tersirat. Tuhan cabut nyawa MP Hulu Selangor, pada ketika usia pentadbiran negeri dipertengahan sebelum menginjak PRU 13. Ini bukan skrip yang dijangkakan. Kali ini pasti sengit. Beza majoriti yang sedikit, usia pentadbiran pertengahan.

Masa paling baik untuk mengukur.

Sunday, April 11, 2010

Apa selepas perkahwinan

Abdullah Jones, menulis : Kalau perkahwinan klimas cinta, apa selepasnya.

Saya muatkan satu sample permohonan cerai fasakh, hehe, untuk rujukan sesiapa yang mahu bercerai. Kebelakangan ini agak ramai kawan-kawan yang bermasalah dalam perkahwinan merujuk nasihat daripada saya. Ini bukan mahu menggalakkan perceraian, tetapi sekadar panduan. Kalau mahu bercerai juga, jangan lupa hubungi saya ye:)

DI DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN
SAMAN NO: TAHUN 2010

ANTARA

SITI TEMBAM BINTI BONYOK PLAINTIF
(NO. K/P: ……………….)

DENGAN

MAT LEPER BIN HAYUN DEFENDAN
(NO. K/P: ………………..)



PERNYATAAN TUNTUTAN

1. Plaintif, SITI TEMBAM BINTI BONYOK (NO. K/P: ……………….) yang beralamat di No. 1 Jalan Satu, Taman Batu Satu, 50000 Kuala Lumpur adalah isteri yang sah kepada pihak Defendan.
Dilampirkan sesalinan Kad Pengenalan Plaintif dan ditandakan sebagai Lampiran A

2. Defendan, MAT LEPER BIN HAYUN (NO. K/P: …………….) yang beralamat di No. 1 Jalan Satu, Taman Batu Satu, 50000 Kuala Lumpur adalah suami yang sah kepada pihak Plaintif.

3. Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 30 haribulan Februari 1987 di Kuala Lumpur dan telah didaftarkan di Wilayah Persekutuan di bawah Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Dilampirkan sesalinan Surat Perakuan Nikah No.xxxxx, Bilangan Daftar Nikah 222xxx/1987) dan ditandakan sebagai Lampiran B.

4. Sepanjang perkahwinan, Plaintif dan Defendan telah memperolehi empat (4) orang anak iaitu :

1) SITI SIHAT BINTI MAT LEPER
Tarikh Lahir : 15/04/1988

2) MOHD PIRING BIN MAT LEPER
Tarikh Lahir : 15/07/1991

3) SITI GEMUK BINTI MAT LEPER
Tarikh Lahir : 15/04/1996

4) SITI BAGAK BINTI MAT LEPER
Tarikh Lahir : 15/05/2002
(selepas ini dirujuk sebagai “anak-anak tersebut”)
Dilampirkan sesalinan Kad Pengenalan dan Sijil Kelahiran anak-anak tersebut dan ditandakan sebagai Eksibit Lampiran C.

5. Plaintif tidak mempunyai persefahaman lagi dengan Defendan untuk meneruskan hidup sebagai suami isteri. Plaintif juga tidak mampu lagi untuk menahan sabar setelah sekian lama bersabar dengan sikap Defendan yang suka berpoya-poya, menjalinkan hubungan dengan perempuan lain, panas baran dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

6. Defendan mula mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan memukul Plaintif bermula daripada tahun 2002 yang menyebabkan Plaintif menghadapi tekanan psikologi yang berat akibat daripada perbuatan-perbuatan Defendan itu dan mengalami kecederaan yang teruk. Plaintif juga kerap menerima ugutan dan ancaman daripada Defendan dan orang-orang yang tidak dikenali.

7. Defendan sering menengking, mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat Plaintif, pernah memukul dan memperkosa serta meliwat Plaintif dan Plaintif sudah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak.
Dilampirkan sesalinan Laporan Polis Balai Gombak 01/005 dan ditandakan sebagai Lampiran D.

8. Defendan tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap Plaintif dan anak-anak bukan sahaja dari segi nafkah tetapi juga tidak berinteraksi dengan Plaintif dan anak-anak.

9. Defendan juga mengabaikan anak-anak, sering mengherdik dan tidak mengakui hubungan sebagai anak. Pada 1 Mac 2005, di alamat No 1 Jalan Satu, Taman Batu Satu, 5000 Kuala Lumpur, Defendan telah memukul anak kedua beliau di hadapan Plaintif, adik beradik Defendan dan 2 orang wanita lain. Defendan melafazkan bahawa anak kedua beliau itu bukan lagi anaknya dan tidak akan bertanggungjawab di atas nafkahnya.

10. Defendan telah mengabaikan nafkah Plaintif dan nafkah keluarga dengan membiarkan Plaintif untuk menanggung sendiri bukan sahaja perbelanjaan asas Plaintif malahan perbelanjaan asas untuk anak-anak.

11. Plaintif telah menjalankan tugas-tugasnya sebagai isteri kepada Defendan dengan taat dan penuh tanggungjawab serta dedikasi sepanjang tempoh perkahwinan dan tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia.

12. Plaintif sudah hilang kepercayaan dan kasih sayang terhadap Defendan dan adalah mustahil untuk Plaintif hidup semula sebagai isteri kepada Defendan.

13. Keadaan rumahtangga Plaintif dan Defendan terus bergolak dan tiada tanda-tanda pemulihan dalam perkahwinan ini, jika diteruskan akan lebih memudharatkan lagi kedua-dua belah pihak.

14. Oleh yang demikian, pihak Plaintif dengan tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk perintah seperti berikut:-

a. Menfasakhkan pernikahan antara Plaintif dan Defendan mengikut Seksyen 52 (b), (h), (i), dan (l) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) atau;

b. Kos guaman dan tindakan ini dibayar oleh Defendan.

c. Lain-lain perintah yang difikirkan patut dan suai manfaat oleh Mahkamah Yang Mulia ini.



Bertarikh pada 2010



…………………………
Peguam Syarie Plaintif








Pernyataan Tuntutan ini telah difailkan oleh Tetuan ABC & Co, Peguam Syarie bagi Plaintif yang beralamat di No. 13 Jalan Pusu, Taman UIA, 53300 Kuala Lumpur
Tel: [.......................] Fax: [.......................]
(ABC/FMK/STB01-2010/001)

Tuesday, April 6, 2010

Moral

Cium di Khalayak: Moral atau Tidak?

Orang lewat kebelakangan ini banyak sekali bercerita tentang moral.Ada yang mahu jadi polis moral, tukang sorak moral, dan apa-apa saja asal tidak tinggal dari arus bicara ramai,mahu jadi moralis. Ia seakan mahu jadi seperti debat Hart dan Devlin. Debat yang tercetus dari Laporan Wolfendan.

Premisnya: Sama ada moral itu hak awam untuk dibicara atau tinggalkan saja ia sebagai istimewanya kita sebagai manusia. Ada yang terlalu ultra pendapatnya, katakan berbogel di dalam bilik sendiri pun tidak boleh. Kata mereka itu begitu tidak bermoral. Penganut liberal pula katanya, argh, soal makan pakai saya, bukan kerja sesiapa untuk menentukan. Tuhan akan tentukan hari Akhirat sana. Apa saja atas nama asasi manusia.

Saya tidak punya maksud untuk menulis akan mana satu moral dan mana satu bukan moral. Hendak tahu tanya saja budak-budak bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Mereka lebih arif kerana mereka belajar subjek moral waktu budak2 Melayu belajar subjek ugama. Barangkali ini punca ramai Melayu kurang ajar aka tidak bermoral walaupun mereka belajar subjek Koran dan Sunnah.

Intelek dan konon cendiakawan akan seratus peratus kata ia berbalik kepada soal pendidikan. Kait sedikit dengan wahyu pertama. Iqra’. Ugamawan, Ustat-ustat pasti akan menyokong. Ini kan Negara Islam Hadhari (baca Had Hari).

Seakan jawapan tentang persoalan moral ini begitu mudah sekali. Pendidikan dan ugama. Sememangnya ia adalah jawapan kepada soal moral dan tidak moral. Tetapi pemahaman ugama yang berdasar taklid membabi dan pendidikan kangkung ala patriotis tidak akan membuat Negara punya rakyat bermoral. Jika tidak bagaimana Islam yang sampai beribu tahun dahulu yang datang dengan ugama dan pendidikan sekali tentunya belum dapat membetul moral ummat. Soalnya bukan ugama itu tidak dapat membentuk moral. Tetapi penganut ugama, fahaman dan pengajar (baca ustat2) yang gagal dengan total untuk membentuk ummat yang menganut ugama untuk berfikir. Semuanya harus diikut. Jangan banyak bertanya kerana nanti masuk neraka. Saya tidak mengata bahawa segala harus diukur dengan pembaris rasional. Tetapi bila semua seakan sudah ditetap oleh Tuan Guru, bila pula ijtihad boleh terjadi. Jatuhnya Kerajaan Uthmaniah konon kerana konspirasi Barat di dalangi yahudi. Seakan ummat terlupa dengan kebangsatan pemerintah atas nama Amir dan Khalifah. Seakan terlupa cerita buku2 di bakar. Seakan terlupa bagaimana reformis dipenjara hanya kerana tidak sejalur dengan massa. Ruang untuk berfikir, debat dan pemikiran baru ditutup. Tidak sedar bahawa sejak di abad ke-19 lagi Turki mengalami kemunduran social, ekonomi dan teknologi. Maka betullah kejatuhan Tamadun Islam itu sebagai satu rahmat sebenarnya.

Ambil satu contoh. Contoh lama. Saddam membunuh berpuluh ribu rakyat Kurdis. Tetapi bila Amerika menyerang Iraq, kita membuta menyokong Saddam atas nama Jihad. Membuta kita berpakat tidak mahu mengguna produk buatan Barat. Tetapi balik saja berdemo, singgah makan di McDonald. Saya tidak menyuruh anda menyokong Amerika. Tetapi biarlah kita mengguna harta akal kurnia Tuhan untuk berfikir. Biarlah kita ada beza dengan binatang kerana sebab beza kita dengan binatang hanya dengan akal. Penyakit taklid membuat kita sama seperti kambing yang mengikut nenek moyangnya takut kepada air walaupun air tidak akan membunuh kambing.

Soal moral, sebagai muslim memang ada panduan. Koran dan Sunnah. Tetapi sebenarnya, jika manusia punya rasa, akal fikir, berperadaban pasti ia tidak jadi sukar.
Pembudayaan, perdebatan tanpa disusuli emosi, sesi pencerahan, (budaya membaca tersangatlah kurang) dan pembinaan tamadun ummat mengikut acuan sendiri pasti sedikit sebanyak menghasil masyarakat yang punya moral yang murni. Tentunya ugama, pendidikan dan akta turut berperanan.

Subang Jaya
12 Mei 2005

Saturday, April 3, 2010

Pengalaman Melawat Kelantan

Saya bertemu Tuan Guru Nik Aziz minggu lalu. Kalau saya mati, insyaAllah saya boleh melelap mata dengan tenang:)

Jarak kami begitu dekat. Desah nafas Tuan Guru dan kedut rauh wajah beliau saya dapat saya tatap. Ini ulama yang harus dihormati, atas kekuatan ilmu dan berbeza dengan ulama lain, TG mempunyai wilayah pemerintahan. Peduli apa saya dengan komentar TG bukan maksum. Mahu pula saya bertanya, kamu maksumkah? Mana ada manusia selepas nabi maksum, memang betul, tetapi menyanggah manusia dengan label tiada manusia maksum adalah sanggahan bangkrap. Ayuh, hujah ilmu lawan dengan ilmu.


Saya bersama TGNA. Sudah tentulah saya dihadapan beliau. hehe

Saya membesar dengan ceramah TG. Waktu kecil, kalau balik ke kampung atau berjalan jauh, bapa akan menguji hafalan surah kami dan selepas itu akan memasang kaset ceramah TG. Waktu itu, seingat saya dalam darjah empat dan lima, saya hanya mengetahui TG adalah penceramah yang pelat Kelantannya pekat, menyebut kecuali dengan kata kacawali. Itulah awal perkenalan saya dengan TG.

Dan semasa melawat Kelantan minggu lalu, Kelantan yang sibuk dengan tuntutan royalti, Kelantan yang sibuk dengan isu perceraian Sultan, Kelantan yang sibuk dengan isu Pemangku Sultan dan Kelantan yang sibuk dengan kali pertama mahu anjurkan Jom Heboh, saya sempat ke Jalan Dato' Pati pada pagi Jumaat, mendengar Kuliah Pagi yang disampaikan saban minggu kalau TG ada di Kelantan.

Ceramah TG adalah seputar mengenai hubungan manusia dengan Tuhan, pengakhiran nyawa manusia dan pertanggungjawaban di akhirat. Bagaimana penyaksian Tuhan kepada umat manusia ini berdasarkan amalan dan perjalanan hidup di dunia bukannya Tuhan melihat kepada pelabelan bangsa dan kedudukan di dunia. TG juga menyentuh mengenai kesyumulan sistem Islam, mengatasi segala macam sistem di dunia termasuklah demokrasi, komunisme, sekularisme dan lain-lain. TG membawa khalayak mengimbau zaman pemerintahan nabi yang meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran negara sehingga dapat menyatukan manusia yang bukan hanya beragama Islam, tetapi juga Yahudi, Majusi dan masyarakat berbilang bangsa selain arab.

Pada akhir sesi, saya sempat bersalam dengan TG dan membisikkan sesuatu kepada TG. Bisikan apa, biarlah rahasia.

Thursday, April 1, 2010

boring

gua rasa tepu. boring. gua rasa gua makin tumpul. dah tak laju macam dulu. mungkin sebab dah gemuk. dulu gua kurus.

gua rasa 2010 ni gua tak produktif mana. keje perlahan. gua merungut bukan sebab cikgu-cikgu merungut. gua tak kisah sape2 nak merungut. gua tak tau keje diorang macam mana walaupun adik kakak gua cikgu. adik gua jadi cikgu jaga stor. gua tak paham apasal dia blaja sampai kat sydney kena jaga stor. gua rasa pengetua dia tak betul.

gua tgk tok jib rasmikan majlis profesor. gua tgk profesor mesti ada janggut. gua pun ada janggut. tapi gua bukan profesor. nak ikut nabi bela janggut tapi kadang-kadang gua pakai seluar pendek jugak.

gua rasa tak tenteram. hari ni gua nak balik baca yasin walaupun kawan-kawan gua kata bidaah.

p/s: gua lelaki. so, gua bukan pms okay

Monday, March 29, 2010

Jerit

Jerit.

Biar Sampai Semua Yang Bukan Kita Dengar.



Jerit.

Jangan Ambil Yang Kita Punya.



Jerit Mereka.

Julang Senjata.



Lupa.

Ada Yang Lagi Berhak Menjerit.

Sunday, March 28, 2010

Detik Dunia

1. Saya rasa keadaan kesesakan trafik di Kuala Lumpur lebih baik daripada 5 tahun dahulu. Ini mungkin ada kaitan dengan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan melalui konglomerat bumiputera.

2. Namun, kemudahan bas awam dan teksi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutama dari segi kelancaran perjalanan, ketepatan masa dan tambang.

3. Saya hairan kenapa beberapa rangkaian keretapi letrik di ibukota tidak diintegrasikan di Stesen Kuala Lumpur Sentral, sebaliknya pengguna harus berjalan kaki keluar daripada terminal. Malah ada rangkaian langsung tidak dihubungkan dengan stesen.

4. Kerajaan patut mempertimbangkan tambang berpakej yang pelbagai selain daripada pas bulanan. Ini dapat menggalakkan penggunaan kenderaan awam selain menguntungkan pengguna

5. Demokrasi bukan sekadar majoriti membuat keputusan. Demokrasi itu perlu juga menyantuni kehendak kelompok minoriti selain melindungi hak mereka yang kecil. Kehendak majoriti tidak boleh sampai menindas nasib kelompok minoriti.

6. Demokrasi bukan konsep sempurna. Tetapi demokrasi hari ini adalah satu sistem yang digunapakai kebanyakan negara dunia. Namun, demografi negara sambil perjalanan sejarah harus tidak diabaikan dalam membentuk negara dan bukan sekadar retorika politik kepalsuan.

7. Pada pendapat saya, sama ada acuan demokrasi itu meniru gagasan greek atau westminster atau dipengaruh kehendak washington atau ubahsuai kehendak sistem Islam syura, ia harus mengambil kira semua kehendak masyarakat negara sebagaimana Muhammad membuat perjanjian Hudaibiyah dan segala macam perjanjian lagi dengan pembesar negara lain dalam pembentuk wilad dan pengembangan ugama.

8. Demokrasi itu harus hijau.

Sunday, March 21, 2010

DemoCrazy

Che Det bersurah tentang demokrasi di sini

Komen harus tunggu sebab ada game maha penting sekarang ni.

Mari berdoa Liverpool menang. Yea Torres score

Friday, March 19, 2010

Siri Celik Undang - Undang 1: Ceritera Undang-Undang Kita

Sejarah lampau peradaban perundangan moden negara sebelum merdeka menunjukkan bahawa perundangan Islam bukanlah sesuatu yang asing dan menjadi praktis dan kod amalan semenjak Kesultanan Melayu Melaka. Merujuk kepada Ramah v Laton (1927) 6 FMSLR (CA): -
"Muslim law is not foreign law, it is the law of the land; and the local law is a matter of which the Court must take judicial notice. The Court must propound the law and it is not competent for the court to allow evidence to be led as to what is the local law."

Ini bermaksud, undang-undang Islam itu adalah satu lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu.

Justeru, hak orang Islam sebenarnya telah mula dinafikan secara tersusun semenjak 1786 lagi, dan hanya pada 1988 barulah Mahkamah Syariah dapat bernafas semula.

Perkara 121 (1A) menyatakan mengenai fasal-fasal pembahagian bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah: -

“Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang selaras bidang kuasa dan tarafnya, iaitu:

(a) satu di Negeri-negeri Tanah Melayu yang dinamakan Mahkamah Tinggi di Malaysia dan yang mempunyai ibu pejabat pendaftarannya di Kuala Lumpur; dan

(b) satu di Negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang dinamakan Mahkamah Tinggi Borneo dan yang mempunyai ibu pejabat pendaftaran di mana-mana tempat di Negeri-negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan oleh yang di-Pertuan Agong; dan di mana-mana mahkamah bawahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan; dan Mahkamah-mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkmah bawahan hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurut Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim, salah satu kesan besar dari pindaan ini ialah mengeluarkan kuasa Mahkamah Sivil dari mendengar kes-kes yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mengelak percanggahan di masa hadapan terhadap kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Ini kerana, sebelum ini, Mahkamah Sivil mempunyai kuasa menyemak semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah. Dengan pindaan ini, kerajaan berharap dapat menyelesaikan masalah pertindihan bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah ini.

Sebenarnya, perkara ini bukanlah bermula dengan adanya Pindaan 1988. Dalam pengamatan penulis, kes Mohamed Saad bin Mohd Nor lwn Hasnah bte Ahmad [1949] MLJ Supp 31, Mahkamah Tinggi Sivil semasa sebelum merdeka lagi telah mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret melibatkan hak penjagaan kanak-kanak yang telah diputuskan oleh Mahkamah Qadi (semasa itu). Ini kerana pada pandangan hakim bicara, hak penjagaan kanak-kanak bagi penganut Islam terletak di bawah bidang kuasa Mahakamah Qadi dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Tepat sekali kenyataan Ahmad Fairuz bahawa sebelum Pindaan 1988, memang banyak kes yang terang-terang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah telah “dirampas” oleh Mahkamah Sivil. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes popular di antaranya Myriam lwn Mohamed Ariff [1971] 1 MLJ 275, Commissioner for Religious Affairs, Terengganu & Ors. lwn Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110, Ainan Mahmud lwn Syed Abu Bakar [1939] MLJ 209 dan Nafsiah lwn Abd. Majid [1969] 2 MLJ 174 yang kesemua kes ini menafikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Tetapi kenyataan beliau bahawa ia tidak berlaku selepas Pindaan 1988 mengundang kepada beberapa persoalan. Ini kerana setelah Pindaan 1988 dibuat Mahkamah Sivil nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa bidang kuasa yang berkaitan dengan undang-undang Islam tidak lagi berada di bawahnya.

Ini dapat dibuktikan dalam kes Shahamin Faizal Kung bin Abdullah lwn Asme bte Haji Junus [1991] 3 MLJ 327. Hakim Edgar Joseph berpendapat bahawa peruntukan dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Courts of Judicature Act of 1964) sama sekali tidak terhapus walaupun adanya Pindaan 1988. Justeru, Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa memandangkan Seksyen 40(3) Enakmen Undang-undang Pentadbiran Islam Pulau Pinang 1959 tidak memperuntukkan bidang kuasa secara eksklusif hanya kepada Mahkamah Syariah apabila isu penjagaan kanak-kanak timbul.

Ini juga dapat dilihat dalam kes Ng Wan Chan lwn Majlis Agama Islam [1991] 3 MLJ 174 dan 487 di mana Mahkamah Sivil berpendapat bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ini. Ini kerana semasa kes ini, Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa oleh undang-undang bertulis (kuasa secara tersirat) bagi memutuskan isu sama ada seseorang itu seorang Islam atau tidak semasa kematiannya. Seksyen 45(2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor 1952 tidak menyenaraikan bidang kuasa tersebut. Setelah melihat fakta-fakta yang dikemukakan, Mahkamah Sivil berpendapat bahawa keterangan yang menunjukkan bahawa si mati adalah seorang Islam semasa kematiannya tidak cukup kuat seperti yang diperuntukkan dalam Enakman Undang-undang Pentadbiran Islam 1952, dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

Kedua-dua penghakiman itu ditolak oleh Mahkamah Agung (ketika itu) dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah Talib[1992] 2 MLJ 793. Keputusan ini sebenarnya memperbetulkan kesilapan oleh Mahkamah-mahkamah Sivil sebelum ini. Di permulaan kes ini, pihak defenden/perayu membuat bantahan awal mengatakan bahawa Mahkamah Sivil yang mempunyai kuasa. Tetapi memandangkan perkara yang dipertikaikan di Mahkamah Sivil terletak secara eksklusif di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Agung menyatakan bahawa Pindaan 1988 dengan jelas memberi kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah, dan bidang kuasa Mahkamah Sivil tidak termasuk dalam perkara berkaitan undang-undang Islam yang melibatkan penganut agama Islam.

Pendekatan yang diambil dalam kes ini ialah melihat sama ada peruntukan wujud secara jelas (express provision). Allahyarham Tan Sri Harun Hashim membawa pendekatan “melihat sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa atau tidak, dan bukannya melihat badan perundangan negeri membuat undang-undang yang memberi bidang kuasa kepada Mahakamah Syariah”. Akhirnya, beliau dan dua hakim lain, Datuk Gunn Chit dan Datuk Mohd Azmi membenarkan rayuan Mohamed Habibullah.

Malangnya campur tangan Mahkamah Sivil ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak terhenti selepas kes Mohamed Habibullah. Hasrat Mahkamah Agung untuk menyelesaikan perebutan dan pertindihan bidang kuasa yang sudah jelas diputuskan dalam kes ini nampaknya masih berlarutan.

Memang tugas hakim-hakim Mahkamah Sivil adalah membuat interpretasi undang-undang termasuk Undang-undang Perlembagaan. Kemungkinan besar, salah satu sebab yang membawa campur tangan Mahkamah Sivil ke atas bidang kuasa Mahakamah Syariah ialah interpretasi bidang kuasa tersurat dan tersirat (inherent and implied jurisdiction).

Ini dapat dilihat dalam kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang [1996] 3 CLJ 231 di mana pendekatan kes Mohamed Habibullah telah diambil oleh Hakim Datuk Abdul Hamid. Memandangkan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang 1993 tidak memperuntukkan dengan jelas kuasa Mahkamah Syariah dan peruntukan keluar dari agama Islam, bidang kuasa tersebut masih terletak di bawah Mahkamah Sivil.

Pendekatan yang sama juga turut diambil dalam kes Shaikh Zolkaffly Shaikh Natar dll lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1997] 3 MLJ 281 di mana hakim bicara menjelaskan bahawa “sekiranya ada pertikaian bidang kuasa di Mahkamah Tinggi Sivil, perkara pokok yang perlu dilihat ialah bukannya Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa atau tidak, tetapi sama ada bidang kuasa itu terletak dalam Mahkamah Syariah.

“Bidang kuasa Mahkamah Syariah diberi oleh perundangan negeri tetapi sekiranya perundangan negeri tidak menganugerah bidang kuasa tersebut (Senarai Negeri) kepada Mahkamah Syariah, maka dengan sendirinya bidang kuasa Mahkamah Syariah terkeluar dari mengendalikan perkara tersebut, dan bidang kuasa tidak sama sekali diperolehi secara tersirat”.

Memandangkan bahawa tiada peruntukan jelas yang menganugerahkan bidang kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah, maka bidang kuasa tersebut jelas terletak di bawah Mahkamah Sivil.

Pendekatan ini tidak diikuti dalam kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [1998] 1 MLJ 681 dan Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam dan Satu lagi [1992] 1 MLJ 1. Hakim-hakim bicara dalam kes-kes ini mengambil pendekatan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa walaupun tiada peruntukan jelas (no express provision).

Mahkamah Sivil cuba menyelesaikan konflik pertindihan bidang kuasa dalam kes Soon Singh lwn PERKIM [1999] 1 MLJ 489 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam mendengar kes murtad. Ini kerana, bidang kuasa tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah walaupun tiada peruntukan keluar Islam dalam Enakmen undang-undang Pentadbiran Agama Islam Kedah 1962. Bidang kuasa tersebut diberi kepada Mahkamah Syariah secara tersirat (implication).

Tetapi keputusan Soon Singh tidak dapat menyelesaikan masalah bidang kuasa sekiranya pihak-pihak terlibat adalah bukan Islam. Konflik ini akan berterusan kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap orang bukan Islam.

Ini dapat dilihat dalam kes Moorthy di mana isu bidang kuasa masih lagi menjadi perebutan. Keputusan oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa si mati (Moorthy) adalah seorang Islam semasa kematiannya telah dipertikaikan oleh balu si mati yang merupakan seorang bukan Islam di Mahkamah Tinggi Sivil. Hakim bicara “terpaksa” memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan adanya Pindaan 1988.

Tetapi balu si mati mempertikaikan platform mahkamah mana yang patut mendengar kes ini memandangkan beliau bukan seorang Islam. Beliau mempertikaikan bahawa tiada remidi baginya di Mahkamah Syariah. Beliau merayu ke Mahkamah Rayuan dan kes ini masih belum diputuskan.

Keputusan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia dll [1999] 2 MLJ 241; [1999] 1 MLJ 266 walaupun merupakan keputusan Mahkamah Persekutuan, tidak dapat meletakkan noktah pertindihan bidang kuasa. Keputusan kes ini yang menetapkan bahawa kedua-dua mahkamah, yakni Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar kes seumpama ini (liwat) telah membuat kedudukan Mahkamah Syariah lebih rendah (inferior). Ini jelas kerana hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah adalah terhad.

Tetapi amat malang sekali bagi Mahkamah Syariah yang nampaknya tidak mahu menggunakan bidang kuasa yang diberi walaupun secara tersirat. Ini dapat dilihat dalam kes Jumaaton dan Satu Lagi lwn Raja Hizaruddin [1998] 6 MLJ 556 di mana Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan enggan menggunakan bidang kuasa tersirat yang diberi dalam kes Mohamed Habibullah dan Soon Singh. Walaupun perkara berkaitan probate terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah hendaklah berani membuat keputusan yang melibatkan perkara-perkara meliputi pewarisan, harta berwasiat (testate) dan tak berwasiat (intestate) yang melibatkan orang Islam.

Pandangan Ahmad Fairuz yang menyatakan bahawa hakim-hakim Sivil hanya sekadar mengulas (obiter) dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam, kadang-kadang boleh membawa kepada keresahan umat Islam memandangkan tidak semua hakim Sivil mempunyai kepakaran dalam perkara-perkara berkaitan dengan undang-undang Islam.

Sebagai contohnya, dalam kes Meor Atiqurrahman bin Ishak dll lwn Fatimah bte Sihi dll [Permohonan Sivil No. 01-3-2005 (N) Mahkamah Persekutuan, 12 Julai 2006] Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman bertulis menyatakan bahawa pemakaian serban oleh tiga murid sekolah semasa waktu persekolahan adalah berlawanan dengan peraturan sekolah, yang tidak membenarkan pemakaiannya.

Tetapi hakim berkenaan (dengan penuh hormat) telah melampaui batasan apabila membicarakan isu serban dari ajaran Islam, di mana pada pandangan penulis Hakim berkenaan kurang pengetahuan yang mendalam mengenainya. Penghakimannya cukup bagus kecuali cacat dari aspek tersebut. Cukuplah baginya membuat kesimpulan bahawa pemakaian serban itu melanggar peraturan sekolah dan tidak berlawanan dari peruntukan Perkara 11 (1) hak kebebasan beragama. Beliau tidak perlu mengaitkan serban dan Nabi Muhammad s.a.w. serta perbandingan (analogy) yang kurang tepat seperti menaiki unta, membina rumah dan masjid dari tanah liat dan sebagainya.

Kesimpulan

Persoalan Mahkamah mana yang mempunyai kuasa bagi menafsir dan menentukan bidang kuasa terletak secara eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah berjalan secara serentak (parrallel) memang betul, tetapi kuasa dan bidang kuasa siapa yang lebih besar? Sudah tentu jawapannya ialah Mahkamah Sivil.

Mahkamah Syariah hanyalah diberi kuasa dan bidang kuasa yang terhad sebagaimana dalam Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri, dan menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 1984) iaitu hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak lebih dari RM5,000 atau sebatan enam kali atau gabungan semua hukuman tersebut.

Kesimpulannya, Mahkamah Sivil masih lagi campur tangan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini jelas kerana, Mahkamah Sivil lebih dominan dan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi (superior), manakala Mahkamah Syariah adalah sebuah mahkamah yang lebih rendah kedudukannya (secondary and inferior).

Secara perbezaan, Mahkamah Syariah hanya akan mendengar kes-kes terletak di bawah bidang kuasanya yang terhad, manakala Mahkamah Sivil mempunyai kuasa yang lebih luas dan justeru itu kadang-kadang melangkaui sempadan. Pertarungan ini masih berterusan selagi mana Malaysia mempunyai dua sistem mahkamah. Maka hendaklah pihak-pihak berwajib memikir bagaimana “menyatukan” mereka demi keadilan semua.

Langkah awal yang boleh dilakukan ialah menempatkan hakim Sivil dan Syariah di Mahkamah Sivil bagi menghakimi kes-kes yang melibatkan pertikaian bidang kuasa. Ini kerana, kedudukan Malaysia yang menyaksikan pelbagai etnik dan agama tidak memungkinkan pemisahan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berkekalan, kalau mahu remidi dan keadilan dikecapi oleh semua.

Monday, March 15, 2010

Baju Kebangsaan



Sebagai seorang yang tebal dengan sifat kebangsaan mempunyai jati diri, saya terus menerus mengekalkan sifat kemelayuan saya melalui pengumpulan baju melayu. Ye, semua 8 pasang baju di atas merupakan baju-baju melayu saya atau diistilahkan sebagai baju kebangsaan saya. Maaf, ada beberapa pasang tidak bergosok.

Saya gemarkan baju melayu cekak musang. Tidak pernah dalam seumur hidup saya mempunyai baju melayu kurung potongan kolar ala johor. Saya juga tidak gemar baju melayu saya dimodenkan dengan potongan seperti berbutang penuh habis ke pusat, atau tidak berpesak. Baju melayu juga harus plain, bukan bercorak bunga-bunga ala Jaafar on atau berkotak-kotak ala 4U2C. Bagi saya juga, baju melayu lebih segak kalau berbutang 5. Cuma semasa kemangkatan Tuanku Jaafar, saya melihat kebanyakan kerabat Negeri Sembilan berbutang tiga. Agak menarik.

Baju melayu, maaf, baju kebangsaan adalah antara produk Malaysia yang tidak boleh diasosiasikan dengan Indonesia. Ia begitu unik, seksi dan cool. Namun saya belum pernah memakai baju kebangsaan untuk ke pejabat. Kecuali sekali semasa jamuan hari raya peringkat kementerian di mana saya menggantikan pembaca doa kementerian. Itu pun saya salin kepada baju kemeja selepas jamuan tamat.

Bukan kerana saya tidak berbangga dengan baju kebangsaan. Kalau saya tidak berbangga, takkanlah saya ada baju kebangsaan sampai 8 pasang. Saya pula adalah jenis manusia yang akan memakai baju kebangsaan lengkap bersampin sehingga senja pada hari raya pertama.

Baju kebangsaan, kebanggan kita!

Monday, March 1, 2010

Pembunuhan Karakter

Ada org suka mengomplen. Ada orang komplen dan bertanggungjawab dengan meletakkan nama mereka. Si pondan, mengomplen di sebalik nama anonymous. Tak kisahlah kalau lelaki ke perempuan ke, kalau baling batu sembunyi tangan, mengomplen tapi menyorok-nyorok, dia pondan.

Komplen biarlah pada perkara substan. Bukan pada karakter penulis. Mengomplen Shebby yang suka mengomplen game2 EPL sebab Shebby main bukannya best pun adalah tidak betul. Balaslah komplen Shebby dengan komplen berasas. Kalau orang komplen, masakan di kedai itu tidak sedap. Bukan kita balas, "balik masak lah sendiri". Kalau orang itu nak masak, dia akan masaklah. Jadi lelaki, atau perempuan, berdiri dan mengaku diri.

Selepas ini, komplen2 anonymous tidak akan dilayan. Sekian.

Wednesday, February 17, 2010

Hill


Bulat, tapi masih boleh terapung

Wednesday, February 10, 2010

Kereta




Gambar pertama tu kereta kelisa yang masuk rally kat uk. ada cerita seperti di bawah. . Yang kedua pula adalah kereta F1 Malaysia

Perodua Kelisa telah membuktikan versalitinya sekali lagi dengan memperolehi kejayaan semasa Lombard RAC Revival Rally. Jururawat Daerah, Karen Young, yang sebelum ini cemerlang di World Cup Rally dan Welsh Endurance Rally, memandu Kelisa hingga ke tempat 28 keseluruhan dengan suaminya sebagai jurupandu arah. Karen juga berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam kelas walaupun berhenti semasa berlumba untuk membantu pelumba lain yang cedera!

Lombard Revival Rally 2005 mengimbas kembali Lombard Rallies yang terkenal dulu dengan lebih dari 50 ujian dan tiada krew servis dibenarkan. Perlumbaan ini bermula di Oxford pada Khamis, 24 November bergerak ke Chester sebelum tamat di Llandudno pada Ahad, 27 November dengan jarak keseluruhan merangkumi 1250 batu. 300 batu dari jarak ini adalah di tanah persendirian, rumah-rumah dan lapangan terbang. Pada satu Special Stage [SS] di Silverstone, Kelisa tersebut mendapat tempat kedua terpantas dari keseluruhan 140 buah kereta.

Kelisa tersebut telah mengharungi pelbagai laluan termasuklah di dalam hutan dan bukit dan kadangkala dalam ais dan salji. Pada hari pertama perlumbaan lagi Karen berjaya mendapat tempat ke 17 keseluruhan selepas bermula dari tempat ke 119. Menurut Karen, Kelisanya sangat ekonomikal dan hanya perlu mengisi minyak 2 kali sehari dengan kos separuh dari kereta-kereta lain. Kemahiran Karen sebagai Jururawat juga terbukti bila seorang pemandu lain mengalami kecederaan di kepala. Selepas merawatnya, Karen kembali ke Kelisanya dan terus berlumba.

“Saya sangat teruja dapat melakukannya dengan sangat bagus.” kata Karen. “Kelisa adalah kereta kecil yang menakjubkan dan tidak ketinggalan rentak walaupun dengan keadaan yang sangat mencabar”.

Karen dan suaminya berkeyakinan untuk mendapat keputusan yang lebih baik pada tahun 2006 dengan pengalaman yang mereka peroleh pada tahun ini.

Sumber: 1) Newspress/Perodua
2) www.geartinggi.com

Saya pakai kereta kelisa. Terbukti kelisa memang jaguh dan pemandunya baik-baik.:)

Mari Kawan2

Ayuh,

Pakai tengkolok,

Penuhkan tembolok.


Ayuh,

Pakai semutar,

Jadi kaki putar.


Ayuh,

Pakai songkok,

Isap rokok.


Ayuh,

Hitamkan rambut,

Macam hati yang hitam.

Saturday, January 30, 2010

Thaipusam




Kepada semua rakan2 yang beragama Hindu, Selamat Menyambut Thaipusam!!!

Friday, January 29, 2010

Akronim

Indonesia gemar menggunakan akronim dan akronim dibahasakan sebagai kata. Contohnya, askar terus di sebut ABRI sebagai singkatan Angkatan Bersenjata Republik Indonesia. Nama-nama tempat pun disingkatkan menjadi seperti Jatim, untuk Jawa Timur, Jabar untuk Jawa Barat.

Bayangkan kalau nama tempat-tempat di Malaysia diakronimkan. Putrajaya jadi Puja, Kota Kinabalu jadi Kokin, Kuala Lipis jadi Kuali, dan paling klasik, Kuala Lumpur jadi Kulum. hehe.

Selamat berweekend semua.

sad adzraie

Seorang sahabat baik saya di tahan di bawah ISA minggu lalu. Tentulah saya berasa terkejut, sedih dan geram. Mujurlah dia dibebaskan malam itu juga. Saya langsung tidak percaya dakwaan dia terlibat dengan kegiatan pengganas. Orang lain dalam kumpulan itu mungkin. Tetapi tidak sahabat saya ini.

Sudah sampai masanya akta seperti Akta Anti Pengganas di gubal bagi mendakwa pihak yang terbabit dengan kegiatan kepengganasan. Menahan tanpa bicara, terhadap seteru politik, pendakwah agama, mubaligh kristian, penulis buku adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.

Saya doakan sahabat saya, teman sekolah dan universiti saya itu sihat, selamat dan berada di bawah lindungan Allah yang Maha Pengasih.

Tuesday, January 26, 2010

Blog

Saya sebenarnya memblog lama sejak 2003. Cuma konsistensi adalah masalah utama saya. Manusia memblog kerana pelbagai sebab. Ada yang mahu bercerita tentang diri, ada yang mahu melepas perasaan, ada yang memberi buah fikir, ada yang mengkritik dan apa-apa sajalah. Blog adalah spektrum lompong kepunyaan sendiri tetapi menjadi seakan galeri pertunjukkan kata kepada khalayak. Blog bersifat peribadi dan menjadi wilayah pemerintahan langsung kerana itulah penulis tidak boleh dihukum kalau mereka tersilap dari segi susunan bahasa, tatabahasa dan gaya penulisan.

Sekurang-kurangnya dalam memberi pendapat peribadi, penulis tidak boleh dikatakan salah.

Namun, tentulah hidup dalam kelompok masyarakat seperti di Malaysia ini, yang hidup ada Raja, kuat berpegang pada agama, tebal malunya harus menulis dengan akal. Langkah pemuda seusia saya Adukateruna menulis sebegitu bodoh pada saya adalah melambangkan sikap, akhlak dan pemikiran seorang yang gagal. Barangkali Adukateruna tersilap langkah. Siapa-siapa pun boleh tersilap langkah. Tetapi padah terlepas kata, buruk padahnya.

Menulis, biarlah berdasar ilmu. Penulis yang berdebat tentang nama Allah seperti perseteruan Zulkifli Nordin dan Khalid Samad adalah pertempuran ilmu yang sangat matang tetapi menjadi begitu anti klimaks dengan tindakan ZN membuat laporan polis. Menulislah, tentang makanan, musik, tentang perjalanan pelancongan anda, tentang pemerhatian dan tentang apa sahaja. Menulislah, dengan nama TuhanMu, barulah kamu tidak tersasar.

sujud



Andai syurga dan neraka tiada, masihkah kita sujud padaNya?

(ini kata2 yang terconteng di bilik saya sewaktu di universiti dahulu)

Monday, January 25, 2010

Elarti

Saya sudah lama tidak naik elarti. Dulu, kalau naik elarti, tempat yang paling saya gemar ialah sendi penyambung antara 2 gerabak. berdiri di tengah-tengah dan sendi dan rasai perasaan yang tak terucap ketika elarti melalui selekoh landasan. Ada orang suka duduk di hadapan sekali kerana elarti di pandu menggunakan sistem komputer dan tiada kokpit untuk pemandu.

elarti membezakan antara KL dan JB, antara KL dan Penang, dan tentunya Manir, Sik, Tanjung Pulai lagi berbeza. Di tempat-tempat di atas, kalaupun ada beberapa tarikan lain seperti di KL seperti PUB, Hotel mewah, tetapi tiada elarti. elarti adalah lambang peradaban pengangkutan awam negara. Kalau diberi pilihan mengundi pengangkutan awam mana yang paling gorgeous, tentu undi saya pada elarti, mengatasi komuter, erl, teksi dan bas tentunya.

En. Shemi, Tuan ADO Selama memberi definisi benar mengenai kaedah bertemujanji dengan gadis. Waktu di Sungai Pusu dahulu, budaya menyewa kereta untuk keluar bersama teman wanita begitu menular. Barangkali pendidikan mengubah persepsi kaum hawa yang tentulah mendambakan lelaki yang kelihatan cool berkereta. Menaiki elarti perlu dimulai dengan menaiki bas penghubung dan beratur untuk membeli tiket. Kalau berkereta, lebih intim, spektrum menjadi lebih sempit dan desahan nafas dan aroma pewangi akan lebih menggoda teruna dan dara. Batang gear di ulas ramas tanda geram, lagi parah batang brek tangan diurut-urut sebagai bahasa badan.

Namun En. Shemi menjelaskan bahawa elartilah sebenarnya medium pengangkutan yang lebih bisa mengintimkan dua sejoli. Elarti selain menjimatkan belanja sewa kereta, bahan bakar, dan parkir mendekatkan pasangan lebih dari duduk di dalam sofa kereta sampaikan barangkali liang roma pun boleh dikira. elarti membolehkan manusia membaca dalam perjalanan ke tempat kerja malah sesetengah orang boleh tidur sambil berdiri dalam elarti. Saya sudah membuktikan kedua-duanya boleh dilakukan.

Cukuplah dengan memuji elarti.

Saya amatlah berharap agar elarti dibina di Putrajaya. Jajaran Elarti boleh dimulai dari stesen komuter Serdang, dan binalah satu stesen berhampiran Uniten. Terus menuju ke Kg Abu Bakar Baginda memasuki Presint 14 dan Presint Diplomatik menuju ke Presint 1, Parcel E terus ke A, terus ke Presint 2 dan melalui Presint-presint kediaman yang lain. Saya percaya, perbelanjaan besar membina laluan elarti ini berbaloi, kerana ia menjimatkan pelepasan gas karbon, mengurangkan jumlah trafik dan mengembalikan nostalgia indah.

Friday, January 22, 2010

Merakyatkan Kesihatan

Dua perkara paling penting dalam pembangunan negara dan menjadi senjata paling ampuh untuk memenangi undi, Pendidikan dan Kesihatan. Kedua-dua perkara ini terhasil daripada ekonomi yang baik dan stabil.

Langkah kerajaan memperkenal Klinik 1Malaysia, adalah antara langkah yang tidak dinafikan bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat. Sekalipun Klinik 1Malaysia mungkin dikatakan sebagai penjenamaan semula Klinik Kesihatan Awam, namun penambahan bilangan klinik sebegini di tempat yang berkepadatan tinggi memberi peluang kepada rakyat menerima kemudahan rawatan dengan kadar yang murah.

Klinik 1Malaysia adalah permulaan yang baik bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja mempunyai tahap kesihatan yang baik dan terjaga, tetapi mempunyai kefahaman dan sikap positif dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Klinik 1Malaysia disamping memainkan peranan sebagai tempat rawatan kepada rakyat boleh ditambah fungsi sebagai nukleus kepada pengembangan fahaman kesihatan baik.

Masyarakat Malaysia berhak penerimaan rawatan kesihatan yang terbaik. Sungguhpun rawatan kesihatan semakin menjadi satu industri yang menguntungkan (Syarikat Johor Corp menganggap rangkaian hospital KPJ mereka paling menguntungkan dan tidak akan sesekali menjualnya), namun masih ramai yang belum mampu mendapatkan rawatan kesihatan di Pusat2 Perubatan Swasta lantaran pendapat kecil dan tidak mempunyai insuran.

Saya berharap Klinik 1Malaysia adalah satu permulaan kepada perkhidmatan kesihatan kepada rakyat secara lebih meluas, komprehensif dan murah. Negara mendapat hasil daripada bumi, biarlah penghuni bumi menikmatinya.

Wednesday, January 20, 2010

Cermep

Atas nasihat dan faktor-faktor tertentu, cermep saya terpaksa diturunkan. Kepada yang sudah membaca kira bertuahlah, kepada yang mengomen, terima kasih. Saya selalu baca blog anda:)

Tuesday, January 19, 2010

Cari

Kau fikir mahkamah tempat cari keadilan?

Baca lanjut sini.

Malas nak ulas lanjut. Takde mood

Monday, January 18, 2010

Selamat Pulang Matahari Monday

Monday, permulaan hari.

Ayuh kita sinsing lengan, seka peluh menitis, pedulikkan kepenatan dan hentikan rungutan.

Ayuh kita tingkatkan produktiviti, GDP dan kadar literasi.

Ayuh kita bangunkan pembangunan tamadun moden.

Ayuh, ayuh dan ayuh.

Demi ayahanda dan bonda.

(paham kan?)

Thursday, January 14, 2010

Majistret nafi rasuah RM8,000

KOTA BHARU: Majistret Mohd Firdaus Ramlan yang menghadapi dua tuduhan meminta dan menerima sogokan wang tunai bagi meringankan hukuman seorang pesalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengaku tidak bersalah.

Mohd Firdaus, 28, yang bertugas bagi Mahkamah Majistret Kuala Krai dan Machang, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sophian Zakaria, di hadapan Hakim Zainal L Saleh.
Tuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan RM5,000 daripada Md Shani melalui Kamarul di Bilik Majistret, Mahkamah Kuala Krai, jam 9 pagi, 6 Oktober 2009 dan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama.

Bagi setiap tuduhan, Mohd Firdaus boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Mohd Sophian menawarkan ikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Mohd Firdaus dalam rayuannya berkata, sebagai penjawat awam gajinya hanya RM2,000 sebulan, tidak cukup untuk digunakan bagi perbelanjaan.

"Duit yang ada hanya boleh bayar sewa rumah, kereta dan anak berusia 80 hari. Tidak sampai setengah bulan, wang saya tentu habis, minta Yang Arif pertimbangkan jumlah itu," katanya.

[Baca lanjut di sini]

Duduk Kuala Krai pun gaji tak cukup, apatah lagi duduk kat Kuala Lumpur ni. hehehe. Tapi ini bukanlah alasan untuk mengamal rasuah ye semua.


Wednesday, January 13, 2010

Makan Tengah Malam Terakhir


Leonardo Da Vincci mengungkap bahawa, "Seni tidak akan siap, ia hanya ditangguh".

Saya mengungkap (eceh) "Politik tidak pernah selesai, hanya dialihkan"

Friday, January 8, 2010

Rumah Terbakar Panggil Bomba

Semalam, ye semalam sewaktu saya pulang dari kantor seputar hampir jam 9 malam, tatkala anjing melolong nyaring, sahut menyahut dari Kampung Abu Bakar Baginda, disahut pula anjing dari Kampung Sg Merab, diselang seli dengan rengekan bunyi bonet kereta kelisa saya, saya memasang radio mencari frekuensi Ikim.fm 91.5. Ada bunyi suara husky wanita bercakap macam dalam kelambu dalam bahasa arab. Bosan. Lima minit kemudian rancangan perempuan gedik (maksud saya bersuara husky) macam dalam kelambu berbahasa arab itu tamat dan diganti dengan bual bicara antara Ustaz Zamri dan Ustaz Farhan, bekas pastor Kristian. Jalan sunyi dan sepi, rumah terletak jauh-jauh, tiada lampu jalan. Yang ada hanya saya, kelisa dan kesunyian malam yang pekat. Siaran radio putus-putus mengingatkan saya suasana seperti zaman komunis bermahajaralela dahulu. Tidak hairanlah kerana Putrajaya asal namanya adalah Prang Besar.

Saya tiba di simpang empat Sg. Merab dan IPI, siaran bertambah baik, suasana malam semakin cerah dengan neon jalanan, melalui jalan berturap baru lemah kualiti berlubang-lubang meski baru diturap 2 bulan lalu. Bunyi bising dari bonet kereta kelisa saya makin merimaskan apatah melalui jalan yang berlubang-lubang ini. Saya sudah ajukan masalah ini pada YB Dr. Shafie dulu, orang pejabatnya kata bukan kawasan YB Dr. Shafie. Suruh saya maklumkan pada MP Serdang. Saya sudah katakan dalam entry lepas, saya tak suka YB. Nie Ching kan. Lalu saya laporkan pada JKR Hulu Langat, JKR Selangor dan Hafiz Tok Batin KKR mengenai situasi runcing ini dan mungkin, ye mungkin akibat laporan itu, jalan diturap baru. 2 bulan kemudian, jalan kembali berlubang. Aduh, pembangunan apa ini?

Bual bicara Ustaz Zamri dan Ustaz Farhan kembali jelas.

Saya pernah berjumpa Ustaz Farhan ini lama dahulu, mungkin tahun 1996 agaknya. Beliau berceramah tentang konsep trinity, injil testamen baru dan lama, dan ekaristi pembaptisan. Semalam, beliau bercerita tentang buku baru beliau, Dialog Islam dan Kristian: Mencari Titik Persamaan. Ustaz Farhan menekankan kepentingan hidup harmonis antara penganut-penganut agama, menyantuni agama lain, dan berdebat atas dasar ilmu bagi mencari kebenaran dan bukan mencetus permusuhan dan memulai persengketaan.

Tahu-tahu, hari ini 3 gereja dibakar!

Sudah tentulah saya terkejut dengan peristiwa pembakaran gereja. Adakah ini ajaran agama yang mereka fahami. Tidakkah mereka mengetahui, Muhammad tidak pernah membakar gereja malah ketika berperang sekalipun, sesiapa yang berlindung dalam rumah ibadat akan terselamat. Apakah yang cuba mereka pertahankan? Kesucian agama dan nama Tuhan? Dengan memercik kebencian dan dengan cara membakar rumah ibadat? Memang tidak akan redha Yahudi dan Nasrani sampai kita mengikut cara mereka. Saya katakan pada pejuang-pejuang agama yang membakar gereja ini, bahawa mereka sebenarnya terpedaya dengan helah kristian bila mereka membakar gereja.

Saya tidak mahu mengulas mengenai penggunaan nama Allah. Ia jelas, digunakan oleh agama samawi lain, lama sebelum Muhammad diutuskan dan malah disebut di dalam Koran. Itu jelas. Secara teks ia jelas. Secara kontekstual, secara siyasah syariah, dan dalam demokrasi ini ia menjadi ruangan perdebatan yang harus diputuskan secepat mungkin. 1400 tahun berlalu, pasti penjelasan ini sudah ada. Setengah abad negara merdeka tanpa sebarang rasa curiga sebegini dahsyat. Perkara ini jadi parah bila dipolitikkan. Saya tambah hairan kenapa ia bermula di Penang dan Selangor. Kenapa ketika Mufti kesayangan ramai dipecat dahulu tidak mereka selantang ini. Kenapa ketika Muhammad disindir, membela janggut kerana tiada gillete mereka menikus. Kenapa ketika hukum as sariqatu was sariqatu fakto'u aidiyahuma dijadikan jenaka mahu makan sup tangan pergi ke Kelantan, mereka diam seribu bahasa.

Akar nibung meresap, akar jati di dalam perahu,
Terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu

Thursday, January 7, 2010

Buku: Mendepani Zaman


Gua ingat nak beli buku ni untuk bacaan awal tahun. Nik Nazmi ni gua kenal gitu-gitu je masa dia dengan SuaraAnum.com seputar tahun 2003. Jadi gua terpengaruh tulis blog sejak tu. Tapi blog yang korang baca ni blog baru. Yang lama-lama tu gua simpan sampai gua pun lupa apa url dia. Sori.

Nik Nazmi sekarang ni dah jadi Adun Seri Setia. Nasib baik gua mengundi di Parlimen Kelana Jaya, Dun Subang Jaya. Adun gua, Hannah Yeoh, cantik. Sebab gua duduk bangi, gua ingat mau tukar tempat mengundi pulak. Tetapi ada satu masalah. Kalau gua tukar Dun Bangi, gua kena mengundi Parlimen Serdang. MP Serdang ni Teoh Nie Ching. Kawan opis gua masa kat Gideon Tan Razali Zaini. Stress, stress. Gua tak suka Nie Ching ni pasal masa dulu gua selalu kena buli dengan dia. BM penulisan dia pun lagi baik dari gua. Jadi gua mahu istikharah dulu lah. Harap-harap kawan gua rio boleh tolong gua dalam aspek menentukan tempat mengundi ni. Gua harap rio masih boleh tolong gua walaupun gua liverpool, dia ____ ( isi sendiri tempat kosong, gua tak mau blog gua tercemar).

Kembali pada buku. Sebenarnya gua mahu tanya kawan2 kalau ada sape2 pernah baca buku ini. Bagus ke? gua tak mau ulasan kawan2 politik beliau. Gua pernah minta kawan gua sampaikan salam pada Nik Nazmi dengan ucapan gua tak suka dia. Dia jawab salam gua dengan cakap, "Lawyer ke?". Gua tambah meluat. Gua harap buku ini bagus. Pasal gua baca blog Nik ni dah makin kurang umpph. Gua tambah meluat bila tgk dia pakai baju Kelantan masa pergi Stadium Selangor. Sama macam Fasha Sandha pulak.

Akhir kata, gua berharap isu parking di Parcel E diselesaikan dengan kadar segera.

P/S: penggunaan kata ganti diri 'gua' adalah sebagai menyantuni suasana rock yang sedang melanda gua.

Wednesday, January 6, 2010

Bebas!

Menjelang Pekan Frinjan akan datang, gua mau jadi sikit rock. Lagipun dengan macam-macam masalah, kemelut, gua ingat lebih baik berhibur dengan lagu2. Gua minat butterfingers sejak sekolah. Gua rasa budak2 indie macam Hujan, Bunkface ni yang buat gua takde nafus nak pergi ROTW 9. Mari berhibur teman!

Judul: Bebas
Nyanyi: Butterfingers

Enjit enjit semut siapa sakit naik atas
arus pemodenan kian deras
pastikan kita tak lemas

Enjit enjit semut siapa sakit naik atas
jangan ketinggalan nanti kita melepas
kita semua perlu tekad

Sampai bila dibelenggu
hidup tanpa ragu-ragu
tanah tumpahnya darahku

Enjit enjit semut siapa sakit naik atas
usah buang masa itu emas
lupakanlah yang dah lepas

Sampai bila dibelenggu
hidup tanpa ragu-ragu
tanah tumpahnya darahku

Biar apa pun terjadi
saya tetap disini
menghapuskan dilema ini

Enjit enjit semut siapa sakit naik atas
arus pemodenan kian deras
pastikan kita tak lemas

Enjit-enjit.....

Kita semua perlu bebas ! (3x)

Tuesday, January 5, 2010

2010

5 hari masuk tahun baru. Masih belum dapat kalendar 2010 atau planner.

Sangat pelik tahun baru kali ini.

Monday, January 4, 2010

Kapitalisme Melampaui Krisis

Harga gula naik 20 sen bukan satu masalahnya bagi kebanyakkan orang. Gula tidaklah dibeli hari-hari seperti bahan bakar petrol dan satu kilo boleh di pakai lama. Sebab itu agaknya tidak ramai yang merungut.

Suatu hari dalam bulan Ramadhan lalu saya membuat laporan kepada KPDNHEP mengenai harga gula yang dinaikkan sesuka hati oleh para peniaga di pasar kecil Bangi. Laporan itu mendapat hasil positif agaknya kerana selepas beberapa minggu saya melihat peniaga itu menurunkan harga gula jualan mereka seperti yang ditetapkan kerajaan.

Disebalik kenaikkan gula yang minimal dan impak yang tidak terasa pada pengguna secara langsung, kita harus melihat ini sebagai krisis yang dicipta oleh para pemodal bagi memainkan sentimen pasaran. Monopoli pemilikan gula oleh pedagang seperti Robert Kuok dan baru-baru ini Orang kaya Syed Mokhtar menyebabkan kita hilang kawalan kepada kuasa pengguna. Harga produk tidak lagi ditetapkan oleh hukum pasaran; permintaan dan penawaran, tetapi dimainkan oleh pedagang-pedagang besar dan mungkin punya kaitan dengan pemuka politik.

Lalu saranan dangkal seperti pengawalan penggunaan gula bagi mengelak diabetes, atau congakan kononnya seperti kenaikkan gula hanya 0.05 sen pada harga secawan teh tarik adalah mainan psikologi yang tidak lagi sesuai untuk masyarakat hari ini. Rakyat harus dijelaskan faktor kenaikan, apakah kaitannya dengan pengeluaran produk terganggu kerana krisis, atau faktor lain. Ketidakmampuan menanggung subsidi bukanlah suatu tragedi sementelah masyarakat Malaysia harus bersedia menempuh dunia pasaran bebas akan datang. Namun ketelusan penyampaian maklumat itu penting di samping kejujuran mengurus ekonomi negara.