Monday, November 30, 2009
Eidul Adha
Di negara yang penghujung tahunnya adalah hujan dan banjir, dan majoritinya adalah penduduk Muslim, bukanlah sesuatu yang keterlaluan untuk kita sambut perayaan hari natal/krismas dengan pokoknya dihias loceng dan hiasan lain serta gumpalan kapas kasar membentuk seoalah salju putih sambil kadangkala peluh memercik bilamana matahari mula menyinar setelah lama hujan dan mendung. Di negara yang penduduknya berhidung pesek, berkulit sawo matang ada juga yang berkulit kuning langsat dan ada pula yang hitam pekat tidaklah mustahil untuk kita biarkan alunan musik gospel dan lagu2 merai krismas di corong radio dan segenap pelusuk pusat membeli belah. Di negara yang Perlembagaan Persekutuannya jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain bebas dianut dan diamal dalam aman dan harmoni itu memungkinkan sambutan, bukan sahaja krismas, malah Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan hari-hari perayaan kaum dan ugama lain. Atas semangat perlembagaan dan toleransi penyatuan bangsa. Asal aman dan harmoni.
Bagaimanapun ada sesuatu yang saya berasa kurang selesa. Kurang selesa bila sambutan Hari Raya Eidul Adha seakan dilupakan. Maksud sambutan bukan sekadar nyanyian lagu raya Sanisah Huri, Ramlah Ram dan Amy Mastura teresak-esak kerana tidak dapat pulang ke kampung, tetapi semangat sambutan itu langsung tiada. Mana pergi ucapan Ketua Negara. Perayaan itu tidak dibesarkan. Sekadar korban dan selesai. Makan sup dan basuh periuk. Sekali sekala siaran berita menunjukkan lembu mengamuk dan terlepas lari. Ada Bapak Menteri melapah lembu dengan berbaju melayu bersampin lengkap. Ada ibu menteri menyiat daging dengan gelang kasar penuh di pergelangan tangan. Aduhai.
Perayaan Eidul Adha bukan mahu di sama sesatkan dengan Eidul Fitri. Eidul Adha tidak perlu lagu2 sedih, bingit gembira. Tidak perlu duit raya. Tetapi Eidul Adha harus diraikan dengan keinsafan hakikat pengorbanan. Tatkala di timur semenanjung berhadapan masalah banjir, apakah sikap kita sebagai negeri yang tidak terlibat dengan bencana alam. Bukan daging, bukan darah, bukan berapa ekor lembu dan kambing. Bukan sup, bukan gulai kawah, bukan daging salai, bukan BBQ. Apakah kita mahu samakan Ismail A.S yang mulia dengan Kibas. Tahukah kamu diyat untuk seorang manusia yang mati dibunuh itu dengan senagaja ialah 100 ekor unta. Sudah tentulah bukan Kibas, Unta atau lembu itu sebagai gantian nyawa manusia. Tetapi keinsafan, nilai dan hubungan kita dengan Tuhan itu yang harus dijadikan perkiraan.
Entahlah.
Tuesday, November 3, 2009
Raja-Raja dan Islam
Umum mengetahui bahawa Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri di Malaysia. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, YDPA menjadi Ketua Agama bagi negeri-negeri tersebut antaranya WP, Sabah, Sarawak, Penang dan Melaka. Ini terkandung dalam Perkara 3 PP. Kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan jelas termaktub di dalam Perkara 3 tersebut. Perkara 3 secara jelas meletakkan kedudukan agama Islam satu tangga di atas dan istimewa berbanding agama-agama lain termasuklah menyatakan bahawa peruntukkan negeri meskipun daripada sumber yang pelbagai boleh digunakan bagi tujuan Agama Islam. Sungguhpun begitu, Perkara 11 menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang bebas dari segi beragama. Apapun kes-kes daripada zaman British menjajah tanah Melayu sehingga la kes baru-baru memperlihatkan mahkamah tidak konsisten dalam menyatakan agama Islam samada meliputi cara hidup ataupun sekadar melibatkan ritual rasmi kerajaan. Sila rujuk kes-kes seperti Che Omar Che Soh dan Meor Atiqurrahman.
Dalam sistem pentadbiran negara yang bercampur baur ini, secara hakikatnya Raja hanyalah simbol di negara kita. Dalam hal yang mudah, YDPA lah sepatutnya yang memberi ucapan-ucapan seperi ucapan Tahun Baru dan Ucapan Kemerdekaan. Ini tidak berlaku. Ucapan disampaikan oleh Ketua Kerajaan. Samaada ini salah atau tidak perlu kita semak semula. Samalah juga dengan ucapan di Hari Aidilfitri. YDPAlah sepatutnya memberi ucapan pada hari tersebut memandangkan Baginda, sekalipun tiada dalam Perlembagaan dinyatakan sebagai Ketua Agama Islam Negara, tetapi secara de facto adalah Ketua Agama Negara mewakili Majlis Raja-Raja. Perlu diperingat bahawa kebiasaan ini (PM memberi ucapan di Hari Raya) adalah tidak tepat dan bayangkan pada masa akan datang sekiranya PM adalah bukan Islam. Perlembagaan tidak menyatakan bahawa PM mesti Melayu dan Islam.
Tulisan ini sekadar ini memberitahu walaupun Raja-Raja kita boleh atau hanya dianggap sebagai simbol, tetapi sebenarnya Raja-Raja memunyai kuasa yang sangat besar berkaitan agama Islam. Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Raja-Raja dalam kuasa tidak boleh cabar sekiranya Baginda membuat keputusan berkaitan agama Islam. Raja-Raja boleh membuat keputusan tanpa nasihat MB dan Exco walaupun ini bertentangan dengan sifat demokrasi berperlembagaan itu sendiri.
Kuasa sebagai Ketua Agama ini bukanlah suatu yang baru wujud selepas Suruhanjaya Reid merangka perlembagaan persekutuan. Ia sebenarnya berkaitan dengan faktor sejarah semenjak perjanjian Pangkor dan sehinggalah kepada penentangan terhadap Malayan Union. Kuasa inilah yang boleh menyelamatkan Agama Islam daripada dijadikan alat politik oleh parti-parti politik dari pihak mana sekalipun. Pada tahun 1984, YDPA membatalkan debat UMNO-PAS berkaitan isu agama. Begitu juga pada tahun 1999, Majlis Raja-Raja Melayu mengambil endah 'perpecahan' orang Melayu ketika itu. Pada tahun 2002, SUltan Selangor menitahkan Mahkamah Syariah agar mempercepat proses keadilan bagi Aida dan menitahkan agar Jabatan Agama Islam lebih efisyen dan menjalankan tugas dengan lebih baik.
Dalam kes yang melibatkan bekas Mufti Perlis, bagi saya tidaklah perlu kita melompat gelabah menyalahkan JAIS dan mengaitkan pula Dr. Asri dengan tuduhan2 lain. Isu ini perlu dirungkaikan satu persatu. Bagi saya, secara mudah, Dr. Asri sewajarnya diberi kebebasan menyampaikan dakwah atas prinsip kebebasan bersuara. Perkara ini dijamin sebagai hak asasi individu oleh perlembagaan. Soal setuju atau tidak dengan Dr. Asri sepatutnya dibalas dengan hujah. Bukan di balas dengan menutup mulut, mengikat tangan dan kaki, dan menggam individu. Inilah yang menyebabkan minda menjadi tertutup, bodoh dan mengikut membuta tuli. Taklid-taklidan atau mengikut membuta itu adalah senjata bagi penguasa mengekalkan kuasa. Tetapi, Dr. Asri juga perlu sedar bahawa hidup ini ada aturannya. Dr Asri harus sedar bahawa peraturan itulah yang menyusun hidup manusia. Peraturan itu memang adakalanya tidak logik. Tahukah anda bahawa ambulan perlu berhenti dilampu isyarat merah sekalipun ada pesakit tenat didalamnya. Itulah peraturan. Peraturan harus diikut dan bukan dilanggar sesuka hati. Peraturan perlu dipatuh dan kalau tidak mahu patuh, pinda lah ia.
Jadi, jangan melompat. Jangan menyalah sesiapa. Kumpul maklumat dan kemudian kembali berfikir.
Subscribe to:
Posts (Atom)