Thursday, December 31, 2009

Tapis, Penapis, Lapisan

Dengan segala kecanggihan di alam mayapada ini,

SB, D9, D7, K9, FRU, PGA, Pulapol, Maktab Polis Cheras, Gerak Khas, Roda-Roda Kay EL, Kereta Peronda Evo berGPS dan teknik turning over,

Akhirnya mereka berjaya;

Memastikan saya, "Tiada apa-apa yang buruk setakat ini".

Okay, kalian boleh kembali siasat pasal Teoh Beng Hock dan si Penyiasat Bala pula ye.

Selamat Tahun Baru Masehi Semua. Kalau mahu baling koin dalam kolam air pancur depan Kedai Roti Che Det, saya nak kirim doa, bunyinya: Bila Kartika mahu di rotan?

Tuesday, December 29, 2009

Bola



hm...patutlah dah main agak okay.



Monday, December 28, 2009

Ahad


Politik Malaysia, walau apapun yang berlaku sebenarnya hanya bersekitar tentang perkara tunggal, i.e Melayu vs Lain-Lain. Selepas itu barulah muncul isu-isu lain merentasi pelbagai perkara seperti keadilan sosial, kedudukan agama Islam, sisem kehakiman, model ekonomi baru, meritokrasi dan segala macam yang lain. Itu hakikatnya. Ahad lepas saya menyaksikan bualbicara Tun Mahathir di Astro, dan beliau ditanya antara lain soal Ketuanan Melayu. Ahad lepas juga menyaksikan tulisan akademia Dr. Ridhuan Tee yang cuba mengupas tentang kontrak sosial dan 'hak' orang Islam berbanding ugama lain. Soal definisi ketuanan, hak, kedudukan istimewa adalah soal yang memerlukan tafsiran putus samada melalui Dewan Parlimen atau Mahkamah. Menghairankan bagi sebuah negara yang berusia lebih separuh abad kita masih bergelumang dengan isu tafsiran, definisi perlembagaan. Membandingkan negara Malaysia dengan negara maju seperti Amerika atau Perancis tentulah tidak adil kerana mereka telah merdeka lama dan melalui proses pendewasaan melalui proses pencerahan dan revolusi serta perang saudara, namun Malaysia seharusnya bingkas terus matang kerana kita punyai cendekiawan, para pengkaji peradaban, ugamawan dan budayawan yang bagi saya harus mendepani proses pendewasaan negara dan tidak membiarkan politikus merencana acuan pembentukan negara melalui proses perebutan kontrak perniagaan dan skandal artis sehingga terleka dari persidangan dan mengundi.

Kalau saya kaitkan dengan betapa dewasa Indonesia maka akan ada teman-teman saya tidak bersetuju lantaran dewasanya Indonesia tidak sunyi daripada isu lain seperti korupsi dan tentunya kemiskinan. Tidaklah menghairankan kerana kita gemar mengukur kejayaan melalui indeks material meski hakikatnya jiwa kita sunyi dan kosong. Indonesia meski miskin dan masih bergelut dengan ketidaktentuan politik tetapi sebenarnya sudah menyelesaikan isu pokok berkaitan ras, kebebasan berugama dan berbudaya dan tentunya kematangan berpolitik. Maka masyarakat Indonesia lebih kelihatan mampu memberi pandangan dalam pelbagai isu sebaliknya kita masih tersepit dalam isu-isu kecil seperti permit dan tauliah.

Sebab itu isu Melayu Vs Lain-Lain ini adalah isu yang harus dirungkaikan secepat mungkin agar tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan modal insan tidak terencat. Kita harus mencapai persepakatan merentasi parti politik dan tentunya persempadanan bangsa. Secara jujur, saya berpendapat sekiranya kita menyelesaikan masalah ini, maka terus kita akan dapat selesaikan masalah lain yang merimaskan kita semua rakyat Malaysia pembayar cukai. Kita rimas dengan politik tanpa henti, kita rimas dengan agenda pentadbiran yang tidak terancang dan berkepentingan, kita rimas dengan gejala rasuah sehingga segalanya runtuh termasuklah moral dan bangunan-bangunan, kita rimas dengan dakwaan keputusan mahkamah berskrip, kita rimas dengan dakwaan skrip ala fiksyen kes-kes berprofil tinggi, kita rimas dengan retorika pemuka-pemuka politik, kita rimas dengan ugamawan yang agama pun tidak memandu mereka, kita rimas melihat kebejatan sosial mengiringi kekeringan idea membangun tamadun.

Kata Aziz Bari, sifat perlembagaan itu harus dikekalkan. Perkara berkaitan Raja-Raja, Agama Islam, kedudukan istimewa Melayu itulah rupa bentuknya negara ini. Sekiranya perkara itu ditiadakan, negara kita hilang ruhnya, sifatnya menjadikan negara ini dangkal dan boring. Dan dihikayatkan bahawa wujudnya kontrak sosial yang entah betul entah tidak.

Lalu, Melayu harus mula menetapkan suatu ketentuan. Kontrak Sosial kalaupun ada real dan bukan miraj, boleh jadi sudah tidak boleh pakai selepas negara merdeka lebih setengah abad. Atau boleh jadi masih kekal relevan atas alasan mahu meletakkan bangsa Melayu kekal berdaya saing. Mahu tongkat atau tidak, Melayu sendiri yang harus putuskan. Orang-orang bangsa Cina boleh bersatu dalam soal pendidikan dan orang India boleh bersatu dalam soal melibatkan tradisi dan kuil serta masa depan mereka, orang-orang Melayu pun harus bersatu dalam soal untung nasib mereka. Bukan bermaksud mahu jadi rasis, jauh sekali mahu jadi pelampau. Tetapi harus kita sedar sampai kiamat pun Tuhan sudah melabel kita masing-masing dengan label bangsa. Tuhan jadikan kita dari pelbagai bangsa agar kita berkenal-kenalan dan berbaik. Menyatu manusia menjadi satu bangsa ciptaan yang baru adalah satu konsep khayalan. Yang boleh dicipta ialah kesatuan atau wihdah hati dan meraikan perbezaan agar hidup lebih harmonis. Sekali lagi, bangsa akan kekal sebagai bangsa. Muhammad akan kekal berbangsa Arab. India Muslim akan kekal sebagai India. Jawa, Banjar, Rawa, Kelantan, Minang, Bangsar, rempit, orang surau, pasar malam, cerita hantu, akan kekal Melayu.

Putuskan. Mahu Tongkat, atau tidak?

Thursday, December 24, 2009

Natrah

Natrah.

Kalau mahu dibandingkan Natrah sebagai sebuah kisah cinta tragis, manakan pula hendak kita letakkan kisah Uda dan Dara. Dan kisah cinta Romeo dan Juliet barangkali lebih tragis dan sayu. Natrah dan Mansor Adabi tidaklah satu kisah cinta tragis sementelah cintanya berputik cukup pantas, dan perpisahannya juga pantas. Sama juga kalau mahu katakan Natrah sebagai sebuah penceritaan derita ibu kehilangan anak, anak yang dikandung ataupun anak yang dididik, ia tidaklah begitu menyayukan. Mungkin bolehlah dikatakan Natrah sebagai sebuah kisah agama, yang disurahkan sebagai sebuah kisah pertentangan antara Kritian dan Islam, ataupun mahu lebih patriotis Natrah kita katakan sebagai kisah koloniasme dan perjuangan rakyat.

Teraju, tentulah si cantik Maya Karin berdarah Jerman-Indonesia. Pilihan watak sebagai gambaran Natrah harus berdarah kacuk, genit dan keanakan. Asalnya Diana Danielle yang lebih putih. Tetapi saya skeptikal dengan budak2 lulusan Sekolah Kebangsaan Osop Pengarah (SKOP). Mereka ini tak pandai berlakon langsung dan asyik meniru gaya A. Galak. (Tak pahamlah kalau mahu bincang salah satu daripada 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara -Mengurangkan Jenayah Jalanan Sebanyak 20 Peratus Menjelang Akhir Tahun 2010 pun tak payahlah sampai nak berbincang secara serius sambil berjalan di kaki lima balai. Patutlah C4, dan enjin pesawat boleh hilang dan senjata boleh dicuri. eh, eh, itu askar. hehe.) Okay back to mengkritik budak budak lulusan SKOP ni, anda tengoklah siapa yang pernah menang pelakon terbaik. Erra Fazira? haha. okay2, back to Natrah. Kawan saya mengatakan bahawa kalau Diana Danielle tak mahu bayaran ciput, eloklah bagi pada Nora Danish. Tetapi dia juga hanya pelakon getis Puteri dan berbakat kecil. Jadi, Eirma, membuat keputusan tepat memilih Maya Karin. Maya berjaya menghayati watak Natrah. Syabas.

Mari kita lihat pula pada Umi Aida yang membawa watak Che Aminah. Perempuan Melayu Terengganu yang melarikan anak orang puteh dan bawak balik kampung, canang sebagai kebanggaan. Itulah dia. Umi Aida berlakon memang bagus, tetapi belum cukup tua walaupun dia berkahwin dengan lelaki tua dan disolekkan sebegitu tua. Umi berlakon okay, tetapi bila dia bermonolog, saya rasa tak feel la. Mungkin sebab dia hanyalah ibu angkat (dalam cerita dan dalam realiti), jadi dia tidak berapa bagus. Kalau nak dibandingkan dengan Samantha, memanglah satu langkah di atas. Samantha sangat bagus dan saya terpana. Tetapi Sofea Jane, lapan juta kali lebih baik. Semasa Natrah umur 70an ini menuturkan bait-bait kata, saya terbawa menyelami kisah sebuah Natrah. Sememangnya monolong Sofea lebih mengesankan saya berbanding kisah Natrah yang dipentaskan. Natrah, sebuah kisah penuh rahasia, sebuah buku yang tidak dapat dibuka, sebuah almari tanpa kunci, sebuah teka teki yang tidak dapat dipecahkan oleh siapa-siapa. Saya percaya Eirma tentu mengharapkan agar Sofea masih muda agar Sofealah yang membawa Natrah.

Pelakon lelaki ini saya tidak tahu apa hebatnya sangat. Remy Ishak, si mamak yang tiba-tiba digilai oleh gadis-gadis separa baligh sambil berteriak Adam!Adam!. Remy Ishak gagal. Penuturan dialog dia biasa sahaja. Bila bermonolog, ah mana jiwanya. Remy selaku Mansor menutur, "Natrah jiwa abang...". Langsung saya tidak rasai, Ditambah lagi dengan budak2 perempuan terkinja-kinja berdiri macam dalam konsert sure heboh. Istana Budaya harus lebih tegas. Budak-budak separa baligh jangan bagi masuk.

Eirma kata ini teater sejarah dan cinta. Berdasarkan fakta. Saya akui ketepatan fakta itu. Ahmad Ibrahim peguam muda idola saya memakai suit warna cokelat dan bukan jubah hitam semasa scene kedua di Mahkamah. Saya akui betapa terperincinya Eirma. Tetapi mengenali Eirma memanglah tidak dapat lari dari melihat tarian-tarian tasauf beliau. Eirma menyelitkan elemen sufi dalam persembahannya. Eirma juga menggambarkan cinta tak terperi melalui lagu2 ala hindustan dan tarian ramai2 gembira. Saya terima itu. Okay. Habis, macam mana kau mahu gambarkan cinta dan kegembiraan kalau bukan dengan nyanyian. Nabi sampai di Madinah pun disambut gembira dengan nyanyian okay!

Yang tersirat:
1. Watak budak Melayu pembodek orang puteh. Watak ini kita boleh lihat dimana-mana sehingga hari ini. Dipejabat, di rumah, di Surau, pada persidangan parti politik dan sebagainya. Ia sesuatu yang genetik. Kalau tidak macam mana ada si Kitul.

2. Ayat yang dibaca oleh Natrah. Yahudi dan Nasrani tidak akan redha....Penonton gelak bila bacaan Natrah tidak bertajwid, tetapi faham ke mereka?

3. Ucapan Dr. Burhanuddin Helmi. Ucapan inilah adalah klimaks teater ini. Sayang Eirma tidak buat betul2. Ucapan pelakonnya tidak begitu meremangkan bulu roma. Dr. Burhanuddin Helmi bersurah betapa tiadanya pemimpin politik Melayu dan malahan ulama sendiri kedepan dalam isu ini. Dr. BH mungkin akan tambah kecewa kalau masih hidup hari ini gamaknya.

Kesimpulan, teater ni okay. Waktu kami di universiti dulu, Natrah sudah pernah dipentaskan. Cuma kami pentaskan bagi tujuan persembahan mahkamah olok-olok. Jadi kami yang budak2 Sekolah Undang-Undang Ahmad Ibrahim sudah tentulah rasa kisah dan teater Natrah ini dekat pada kami. Kalau budak2 Sekolah Undang-Undang kat Shah Alam tu rasa nak buat teater, bolehlah buat Teater Norita ataupun Teater Lecturer Mati diBunuh Kerana Main dengan Student Sendiri. Hehe.