Monday, December 28, 2009

Ahad


Politik Malaysia, walau apapun yang berlaku sebenarnya hanya bersekitar tentang perkara tunggal, i.e Melayu vs Lain-Lain. Selepas itu barulah muncul isu-isu lain merentasi pelbagai perkara seperti keadilan sosial, kedudukan agama Islam, sisem kehakiman, model ekonomi baru, meritokrasi dan segala macam yang lain. Itu hakikatnya. Ahad lepas saya menyaksikan bualbicara Tun Mahathir di Astro, dan beliau ditanya antara lain soal Ketuanan Melayu. Ahad lepas juga menyaksikan tulisan akademia Dr. Ridhuan Tee yang cuba mengupas tentang kontrak sosial dan 'hak' orang Islam berbanding ugama lain. Soal definisi ketuanan, hak, kedudukan istimewa adalah soal yang memerlukan tafsiran putus samada melalui Dewan Parlimen atau Mahkamah. Menghairankan bagi sebuah negara yang berusia lebih separuh abad kita masih bergelumang dengan isu tafsiran, definisi perlembagaan. Membandingkan negara Malaysia dengan negara maju seperti Amerika atau Perancis tentulah tidak adil kerana mereka telah merdeka lama dan melalui proses pendewasaan melalui proses pencerahan dan revolusi serta perang saudara, namun Malaysia seharusnya bingkas terus matang kerana kita punyai cendekiawan, para pengkaji peradaban, ugamawan dan budayawan yang bagi saya harus mendepani proses pendewasaan negara dan tidak membiarkan politikus merencana acuan pembentukan negara melalui proses perebutan kontrak perniagaan dan skandal artis sehingga terleka dari persidangan dan mengundi.

Kalau saya kaitkan dengan betapa dewasa Indonesia maka akan ada teman-teman saya tidak bersetuju lantaran dewasanya Indonesia tidak sunyi daripada isu lain seperti korupsi dan tentunya kemiskinan. Tidaklah menghairankan kerana kita gemar mengukur kejayaan melalui indeks material meski hakikatnya jiwa kita sunyi dan kosong. Indonesia meski miskin dan masih bergelut dengan ketidaktentuan politik tetapi sebenarnya sudah menyelesaikan isu pokok berkaitan ras, kebebasan berugama dan berbudaya dan tentunya kematangan berpolitik. Maka masyarakat Indonesia lebih kelihatan mampu memberi pandangan dalam pelbagai isu sebaliknya kita masih tersepit dalam isu-isu kecil seperti permit dan tauliah.

Sebab itu isu Melayu Vs Lain-Lain ini adalah isu yang harus dirungkaikan secepat mungkin agar tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan modal insan tidak terencat. Kita harus mencapai persepakatan merentasi parti politik dan tentunya persempadanan bangsa. Secara jujur, saya berpendapat sekiranya kita menyelesaikan masalah ini, maka terus kita akan dapat selesaikan masalah lain yang merimaskan kita semua rakyat Malaysia pembayar cukai. Kita rimas dengan politik tanpa henti, kita rimas dengan agenda pentadbiran yang tidak terancang dan berkepentingan, kita rimas dengan gejala rasuah sehingga segalanya runtuh termasuklah moral dan bangunan-bangunan, kita rimas dengan dakwaan keputusan mahkamah berskrip, kita rimas dengan dakwaan skrip ala fiksyen kes-kes berprofil tinggi, kita rimas dengan retorika pemuka-pemuka politik, kita rimas dengan ugamawan yang agama pun tidak memandu mereka, kita rimas melihat kebejatan sosial mengiringi kekeringan idea membangun tamadun.

Kata Aziz Bari, sifat perlembagaan itu harus dikekalkan. Perkara berkaitan Raja-Raja, Agama Islam, kedudukan istimewa Melayu itulah rupa bentuknya negara ini. Sekiranya perkara itu ditiadakan, negara kita hilang ruhnya, sifatnya menjadikan negara ini dangkal dan boring. Dan dihikayatkan bahawa wujudnya kontrak sosial yang entah betul entah tidak.

Lalu, Melayu harus mula menetapkan suatu ketentuan. Kontrak Sosial kalaupun ada real dan bukan miraj, boleh jadi sudah tidak boleh pakai selepas negara merdeka lebih setengah abad. Atau boleh jadi masih kekal relevan atas alasan mahu meletakkan bangsa Melayu kekal berdaya saing. Mahu tongkat atau tidak, Melayu sendiri yang harus putuskan. Orang-orang bangsa Cina boleh bersatu dalam soal pendidikan dan orang India boleh bersatu dalam soal melibatkan tradisi dan kuil serta masa depan mereka, orang-orang Melayu pun harus bersatu dalam soal untung nasib mereka. Bukan bermaksud mahu jadi rasis, jauh sekali mahu jadi pelampau. Tetapi harus kita sedar sampai kiamat pun Tuhan sudah melabel kita masing-masing dengan label bangsa. Tuhan jadikan kita dari pelbagai bangsa agar kita berkenal-kenalan dan berbaik. Menyatu manusia menjadi satu bangsa ciptaan yang baru adalah satu konsep khayalan. Yang boleh dicipta ialah kesatuan atau wihdah hati dan meraikan perbezaan agar hidup lebih harmonis. Sekali lagi, bangsa akan kekal sebagai bangsa. Muhammad akan kekal berbangsa Arab. India Muslim akan kekal sebagai India. Jawa, Banjar, Rawa, Kelantan, Minang, Bangsar, rempit, orang surau, pasar malam, cerita hantu, akan kekal Melayu.

Putuskan. Mahu Tongkat, atau tidak?

1 comment:

  1. Entry ko sungguh, erm, serius.. Which is very good.. Aku suke :)

    Aku tak tengok wawancara tu, tapi mak aku tengok n mak aku bagi review penuh kat aku ;) Aku tak mahu hak orang Melayu makin hilang, aku takut..
    tapi orang Melayu perlu sedar, bangsa2 lain jadi marah bila hak istimewa ini is taken for granted.. Aku nyampah tengok kontraktor Kelas F yang berlagak dan kontraktor kelas A bumiputra yang memandang rendah orang lain.. Dapat projek tapi sub-con ke orang lain..

    Aku tak suka politik tapi politik dengan kehidupan kita sekarang, tak boleh dipisahkan. Kerja pun di bawah pengaruh ahli politik.. Can I say Malaysia ni semakin sakit..

    ReplyDelete