Saturday, January 30, 2010

Thaipusam




Kepada semua rakan2 yang beragama Hindu, Selamat Menyambut Thaipusam!!!

Friday, January 29, 2010

Akronim

Indonesia gemar menggunakan akronim dan akronim dibahasakan sebagai kata. Contohnya, askar terus di sebut ABRI sebagai singkatan Angkatan Bersenjata Republik Indonesia. Nama-nama tempat pun disingkatkan menjadi seperti Jatim, untuk Jawa Timur, Jabar untuk Jawa Barat.

Bayangkan kalau nama tempat-tempat di Malaysia diakronimkan. Putrajaya jadi Puja, Kota Kinabalu jadi Kokin, Kuala Lipis jadi Kuali, dan paling klasik, Kuala Lumpur jadi Kulum. hehe.

Selamat berweekend semua.

sad adzraie

Seorang sahabat baik saya di tahan di bawah ISA minggu lalu. Tentulah saya berasa terkejut, sedih dan geram. Mujurlah dia dibebaskan malam itu juga. Saya langsung tidak percaya dakwaan dia terlibat dengan kegiatan pengganas. Orang lain dalam kumpulan itu mungkin. Tetapi tidak sahabat saya ini.

Sudah sampai masanya akta seperti Akta Anti Pengganas di gubal bagi mendakwa pihak yang terbabit dengan kegiatan kepengganasan. Menahan tanpa bicara, terhadap seteru politik, pendakwah agama, mubaligh kristian, penulis buku adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.

Saya doakan sahabat saya, teman sekolah dan universiti saya itu sihat, selamat dan berada di bawah lindungan Allah yang Maha Pengasih.

Tuesday, January 26, 2010

Blog

Saya sebenarnya memblog lama sejak 2003. Cuma konsistensi adalah masalah utama saya. Manusia memblog kerana pelbagai sebab. Ada yang mahu bercerita tentang diri, ada yang mahu melepas perasaan, ada yang memberi buah fikir, ada yang mengkritik dan apa-apa sajalah. Blog adalah spektrum lompong kepunyaan sendiri tetapi menjadi seakan galeri pertunjukkan kata kepada khalayak. Blog bersifat peribadi dan menjadi wilayah pemerintahan langsung kerana itulah penulis tidak boleh dihukum kalau mereka tersilap dari segi susunan bahasa, tatabahasa dan gaya penulisan.

Sekurang-kurangnya dalam memberi pendapat peribadi, penulis tidak boleh dikatakan salah.

Namun, tentulah hidup dalam kelompok masyarakat seperti di Malaysia ini, yang hidup ada Raja, kuat berpegang pada agama, tebal malunya harus menulis dengan akal. Langkah pemuda seusia saya Adukateruna menulis sebegitu bodoh pada saya adalah melambangkan sikap, akhlak dan pemikiran seorang yang gagal. Barangkali Adukateruna tersilap langkah. Siapa-siapa pun boleh tersilap langkah. Tetapi padah terlepas kata, buruk padahnya.

Menulis, biarlah berdasar ilmu. Penulis yang berdebat tentang nama Allah seperti perseteruan Zulkifli Nordin dan Khalid Samad adalah pertempuran ilmu yang sangat matang tetapi menjadi begitu anti klimaks dengan tindakan ZN membuat laporan polis. Menulislah, tentang makanan, musik, tentang perjalanan pelancongan anda, tentang pemerhatian dan tentang apa sahaja. Menulislah, dengan nama TuhanMu, barulah kamu tidak tersasar.

sujud



Andai syurga dan neraka tiada, masihkah kita sujud padaNya?

(ini kata2 yang terconteng di bilik saya sewaktu di universiti dahulu)

Monday, January 25, 2010

Elarti

Saya sudah lama tidak naik elarti. Dulu, kalau naik elarti, tempat yang paling saya gemar ialah sendi penyambung antara 2 gerabak. berdiri di tengah-tengah dan sendi dan rasai perasaan yang tak terucap ketika elarti melalui selekoh landasan. Ada orang suka duduk di hadapan sekali kerana elarti di pandu menggunakan sistem komputer dan tiada kokpit untuk pemandu.

elarti membezakan antara KL dan JB, antara KL dan Penang, dan tentunya Manir, Sik, Tanjung Pulai lagi berbeza. Di tempat-tempat di atas, kalaupun ada beberapa tarikan lain seperti di KL seperti PUB, Hotel mewah, tetapi tiada elarti. elarti adalah lambang peradaban pengangkutan awam negara. Kalau diberi pilihan mengundi pengangkutan awam mana yang paling gorgeous, tentu undi saya pada elarti, mengatasi komuter, erl, teksi dan bas tentunya.

En. Shemi, Tuan ADO Selama memberi definisi benar mengenai kaedah bertemujanji dengan gadis. Waktu di Sungai Pusu dahulu, budaya menyewa kereta untuk keluar bersama teman wanita begitu menular. Barangkali pendidikan mengubah persepsi kaum hawa yang tentulah mendambakan lelaki yang kelihatan cool berkereta. Menaiki elarti perlu dimulai dengan menaiki bas penghubung dan beratur untuk membeli tiket. Kalau berkereta, lebih intim, spektrum menjadi lebih sempit dan desahan nafas dan aroma pewangi akan lebih menggoda teruna dan dara. Batang gear di ulas ramas tanda geram, lagi parah batang brek tangan diurut-urut sebagai bahasa badan.

Namun En. Shemi menjelaskan bahawa elartilah sebenarnya medium pengangkutan yang lebih bisa mengintimkan dua sejoli. Elarti selain menjimatkan belanja sewa kereta, bahan bakar, dan parkir mendekatkan pasangan lebih dari duduk di dalam sofa kereta sampaikan barangkali liang roma pun boleh dikira. elarti membolehkan manusia membaca dalam perjalanan ke tempat kerja malah sesetengah orang boleh tidur sambil berdiri dalam elarti. Saya sudah membuktikan kedua-duanya boleh dilakukan.

Cukuplah dengan memuji elarti.

Saya amatlah berharap agar elarti dibina di Putrajaya. Jajaran Elarti boleh dimulai dari stesen komuter Serdang, dan binalah satu stesen berhampiran Uniten. Terus menuju ke Kg Abu Bakar Baginda memasuki Presint 14 dan Presint Diplomatik menuju ke Presint 1, Parcel E terus ke A, terus ke Presint 2 dan melalui Presint-presint kediaman yang lain. Saya percaya, perbelanjaan besar membina laluan elarti ini berbaloi, kerana ia menjimatkan pelepasan gas karbon, mengurangkan jumlah trafik dan mengembalikan nostalgia indah.

Friday, January 22, 2010

Merakyatkan Kesihatan

Dua perkara paling penting dalam pembangunan negara dan menjadi senjata paling ampuh untuk memenangi undi, Pendidikan dan Kesihatan. Kedua-dua perkara ini terhasil daripada ekonomi yang baik dan stabil.

Langkah kerajaan memperkenal Klinik 1Malaysia, adalah antara langkah yang tidak dinafikan bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat. Sekalipun Klinik 1Malaysia mungkin dikatakan sebagai penjenamaan semula Klinik Kesihatan Awam, namun penambahan bilangan klinik sebegini di tempat yang berkepadatan tinggi memberi peluang kepada rakyat menerima kemudahan rawatan dengan kadar yang murah.

Klinik 1Malaysia adalah permulaan yang baik bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja mempunyai tahap kesihatan yang baik dan terjaga, tetapi mempunyai kefahaman dan sikap positif dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Klinik 1Malaysia disamping memainkan peranan sebagai tempat rawatan kepada rakyat boleh ditambah fungsi sebagai nukleus kepada pengembangan fahaman kesihatan baik.

Masyarakat Malaysia berhak penerimaan rawatan kesihatan yang terbaik. Sungguhpun rawatan kesihatan semakin menjadi satu industri yang menguntungkan (Syarikat Johor Corp menganggap rangkaian hospital KPJ mereka paling menguntungkan dan tidak akan sesekali menjualnya), namun masih ramai yang belum mampu mendapatkan rawatan kesihatan di Pusat2 Perubatan Swasta lantaran pendapat kecil dan tidak mempunyai insuran.

Saya berharap Klinik 1Malaysia adalah satu permulaan kepada perkhidmatan kesihatan kepada rakyat secara lebih meluas, komprehensif dan murah. Negara mendapat hasil daripada bumi, biarlah penghuni bumi menikmatinya.