Friday, January 22, 2010

Merakyatkan Kesihatan

Dua perkara paling penting dalam pembangunan negara dan menjadi senjata paling ampuh untuk memenangi undi, Pendidikan dan Kesihatan. Kedua-dua perkara ini terhasil daripada ekonomi yang baik dan stabil.

Langkah kerajaan memperkenal Klinik 1Malaysia, adalah antara langkah yang tidak dinafikan bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat. Sekalipun Klinik 1Malaysia mungkin dikatakan sebagai penjenamaan semula Klinik Kesihatan Awam, namun penambahan bilangan klinik sebegini di tempat yang berkepadatan tinggi memberi peluang kepada rakyat menerima kemudahan rawatan dengan kadar yang murah.

Klinik 1Malaysia adalah permulaan yang baik bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja mempunyai tahap kesihatan yang baik dan terjaga, tetapi mempunyai kefahaman dan sikap positif dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Klinik 1Malaysia disamping memainkan peranan sebagai tempat rawatan kepada rakyat boleh ditambah fungsi sebagai nukleus kepada pengembangan fahaman kesihatan baik.

Masyarakat Malaysia berhak penerimaan rawatan kesihatan yang terbaik. Sungguhpun rawatan kesihatan semakin menjadi satu industri yang menguntungkan (Syarikat Johor Corp menganggap rangkaian hospital KPJ mereka paling menguntungkan dan tidak akan sesekali menjualnya), namun masih ramai yang belum mampu mendapatkan rawatan kesihatan di Pusat2 Perubatan Swasta lantaran pendapat kecil dan tidak mempunyai insuran.

Saya berharap Klinik 1Malaysia adalah satu permulaan kepada perkhidmatan kesihatan kepada rakyat secara lebih meluas, komprehensif dan murah. Negara mendapat hasil daripada bumi, biarlah penghuni bumi menikmatinya.

No comments:

Post a Comment