Friday, January 8, 2010

Rumah Terbakar Panggil Bomba

Semalam, ye semalam sewaktu saya pulang dari kantor seputar hampir jam 9 malam, tatkala anjing melolong nyaring, sahut menyahut dari Kampung Abu Bakar Baginda, disahut pula anjing dari Kampung Sg Merab, diselang seli dengan rengekan bunyi bonet kereta kelisa saya, saya memasang radio mencari frekuensi Ikim.fm 91.5. Ada bunyi suara husky wanita bercakap macam dalam kelambu dalam bahasa arab. Bosan. Lima minit kemudian rancangan perempuan gedik (maksud saya bersuara husky) macam dalam kelambu berbahasa arab itu tamat dan diganti dengan bual bicara antara Ustaz Zamri dan Ustaz Farhan, bekas pastor Kristian. Jalan sunyi dan sepi, rumah terletak jauh-jauh, tiada lampu jalan. Yang ada hanya saya, kelisa dan kesunyian malam yang pekat. Siaran radio putus-putus mengingatkan saya suasana seperti zaman komunis bermahajaralela dahulu. Tidak hairanlah kerana Putrajaya asal namanya adalah Prang Besar.

Saya tiba di simpang empat Sg. Merab dan IPI, siaran bertambah baik, suasana malam semakin cerah dengan neon jalanan, melalui jalan berturap baru lemah kualiti berlubang-lubang meski baru diturap 2 bulan lalu. Bunyi bising dari bonet kereta kelisa saya makin merimaskan apatah melalui jalan yang berlubang-lubang ini. Saya sudah ajukan masalah ini pada YB Dr. Shafie dulu, orang pejabatnya kata bukan kawasan YB Dr. Shafie. Suruh saya maklumkan pada MP Serdang. Saya sudah katakan dalam entry lepas, saya tak suka YB. Nie Ching kan. Lalu saya laporkan pada JKR Hulu Langat, JKR Selangor dan Hafiz Tok Batin KKR mengenai situasi runcing ini dan mungkin, ye mungkin akibat laporan itu, jalan diturap baru. 2 bulan kemudian, jalan kembali berlubang. Aduh, pembangunan apa ini?

Bual bicara Ustaz Zamri dan Ustaz Farhan kembali jelas.

Saya pernah berjumpa Ustaz Farhan ini lama dahulu, mungkin tahun 1996 agaknya. Beliau berceramah tentang konsep trinity, injil testamen baru dan lama, dan ekaristi pembaptisan. Semalam, beliau bercerita tentang buku baru beliau, Dialog Islam dan Kristian: Mencari Titik Persamaan. Ustaz Farhan menekankan kepentingan hidup harmonis antara penganut-penganut agama, menyantuni agama lain, dan berdebat atas dasar ilmu bagi mencari kebenaran dan bukan mencetus permusuhan dan memulai persengketaan.

Tahu-tahu, hari ini 3 gereja dibakar!

Sudah tentulah saya terkejut dengan peristiwa pembakaran gereja. Adakah ini ajaran agama yang mereka fahami. Tidakkah mereka mengetahui, Muhammad tidak pernah membakar gereja malah ketika berperang sekalipun, sesiapa yang berlindung dalam rumah ibadat akan terselamat. Apakah yang cuba mereka pertahankan? Kesucian agama dan nama Tuhan? Dengan memercik kebencian dan dengan cara membakar rumah ibadat? Memang tidak akan redha Yahudi dan Nasrani sampai kita mengikut cara mereka. Saya katakan pada pejuang-pejuang agama yang membakar gereja ini, bahawa mereka sebenarnya terpedaya dengan helah kristian bila mereka membakar gereja.

Saya tidak mahu mengulas mengenai penggunaan nama Allah. Ia jelas, digunakan oleh agama samawi lain, lama sebelum Muhammad diutuskan dan malah disebut di dalam Koran. Itu jelas. Secara teks ia jelas. Secara kontekstual, secara siyasah syariah, dan dalam demokrasi ini ia menjadi ruangan perdebatan yang harus diputuskan secepat mungkin. 1400 tahun berlalu, pasti penjelasan ini sudah ada. Setengah abad negara merdeka tanpa sebarang rasa curiga sebegini dahsyat. Perkara ini jadi parah bila dipolitikkan. Saya tambah hairan kenapa ia bermula di Penang dan Selangor. Kenapa ketika Mufti kesayangan ramai dipecat dahulu tidak mereka selantang ini. Kenapa ketika Muhammad disindir, membela janggut kerana tiada gillete mereka menikus. Kenapa ketika hukum as sariqatu was sariqatu fakto'u aidiyahuma dijadikan jenaka mahu makan sup tangan pergi ke Kelantan, mereka diam seribu bahasa.

Akar nibung meresap, akar jati di dalam perahu,
Terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu

No comments:

Post a Comment