Cium di Khalayak: Moral atau Tidak?
Orang lewat kebelakangan ini banyak sekali bercerita tentang moral.Ada yang mahu jadi polis moral, tukang sorak moral, dan apa-apa saja asal tidak tinggal dari arus bicara ramai,mahu jadi moralis. Ia seakan mahu jadi seperti debat Hart dan Devlin. Debat yang tercetus dari Laporan Wolfendan.
Premisnya: Sama ada moral itu hak awam untuk dibicara atau tinggalkan saja ia sebagai istimewanya kita sebagai manusia. Ada yang terlalu ultra pendapatnya, katakan berbogel di dalam bilik sendiri pun tidak boleh. Kata mereka itu begitu tidak bermoral. Penganut liberal pula katanya, argh, soal makan pakai saya, bukan kerja sesiapa untuk menentukan. Tuhan akan tentukan hari Akhirat sana. Apa saja atas nama asasi manusia.
Saya tidak punya maksud untuk menulis akan mana satu moral dan mana satu bukan moral. Hendak tahu tanya saja budak-budak bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Mereka lebih arif kerana mereka belajar subjek moral waktu budak2 Melayu belajar subjek ugama. Barangkali ini punca ramai Melayu kurang ajar aka tidak bermoral walaupun mereka belajar subjek Koran dan Sunnah.
Intelek dan konon cendiakawan akan seratus peratus kata ia berbalik kepada soal pendidikan. Kait sedikit dengan wahyu pertama. Iqra’. Ugamawan, Ustat-ustat pasti akan menyokong. Ini kan Negara Islam Hadhari (baca Had Hari).
Seakan jawapan tentang persoalan moral ini begitu mudah sekali. Pendidikan dan ugama. Sememangnya ia adalah jawapan kepada soal moral dan tidak moral. Tetapi pemahaman ugama yang berdasar taklid membabi dan pendidikan kangkung ala patriotis tidak akan membuat Negara punya rakyat bermoral. Jika tidak bagaimana Islam yang sampai beribu tahun dahulu yang datang dengan ugama dan pendidikan sekali tentunya belum dapat membetul moral ummat. Soalnya bukan ugama itu tidak dapat membentuk moral. Tetapi penganut ugama, fahaman dan pengajar (baca ustat2) yang gagal dengan total untuk membentuk ummat yang menganut ugama untuk berfikir. Semuanya harus diikut. Jangan banyak bertanya kerana nanti masuk neraka. Saya tidak mengata bahawa segala harus diukur dengan pembaris rasional. Tetapi bila semua seakan sudah ditetap oleh Tuan Guru, bila pula ijtihad boleh terjadi. Jatuhnya Kerajaan Uthmaniah konon kerana konspirasi Barat di dalangi yahudi. Seakan ummat terlupa dengan kebangsatan pemerintah atas nama Amir dan Khalifah. Seakan terlupa cerita buku2 di bakar. Seakan terlupa bagaimana reformis dipenjara hanya kerana tidak sejalur dengan massa. Ruang untuk berfikir, debat dan pemikiran baru ditutup. Tidak sedar bahawa sejak di abad ke-19 lagi Turki mengalami kemunduran social, ekonomi dan teknologi. Maka betullah kejatuhan Tamadun Islam itu sebagai satu rahmat sebenarnya.
Ambil satu contoh. Contoh lama. Saddam membunuh berpuluh ribu rakyat Kurdis. Tetapi bila Amerika menyerang Iraq, kita membuta menyokong Saddam atas nama Jihad. Membuta kita berpakat tidak mahu mengguna produk buatan Barat. Tetapi balik saja berdemo, singgah makan di McDonald. Saya tidak menyuruh anda menyokong Amerika. Tetapi biarlah kita mengguna harta akal kurnia Tuhan untuk berfikir. Biarlah kita ada beza dengan binatang kerana sebab beza kita dengan binatang hanya dengan akal. Penyakit taklid membuat kita sama seperti kambing yang mengikut nenek moyangnya takut kepada air walaupun air tidak akan membunuh kambing.
Soal moral, sebagai muslim memang ada panduan. Koran dan Sunnah. Tetapi sebenarnya, jika manusia punya rasa, akal fikir, berperadaban pasti ia tidak jadi sukar.
Pembudayaan, perdebatan tanpa disusuli emosi, sesi pencerahan, (budaya membaca tersangatlah kurang) dan pembinaan tamadun ummat mengikut acuan sendiri pasti sedikit sebanyak menghasil masyarakat yang punya moral yang murni. Tentunya ugama, pendidikan dan akta turut berperanan.
Subang Jaya
12 Mei 2005
tetiba teringat kepada satu rakan universiti berbangsa Iraq. Kagum dengan semangat patriotisme yang tebal kepada negara sendiri walau duduk di Malaysia bertahun-tahun. Entah apa lah jadi ek, dah balik ke sana sebelum Perang Teluk Ke 2.
ReplyDeleteMoral? Aku rasa isu tu akan sentiasa diperdebatkan. Tak bermoral pada sesetengah golongan mungkin nampak bermoral pada golongan lain. Agak sukar jugalah kalau nak menerangkan yang bermoral atau tidak kalau ditanya dek sikecil. Budaya di rancangan televisyen agak klise dengan ajaran agama di sekolah kan?
jay jamil: patriotis atau tidak rakyat di Malaysia ni bermusim, dan diukur dengan kibaran bendera di motokar.
ReplyDeleteDan moral pula, nampak moral masyarakat Malaysia makin baik kesan daripada ajaran Islam Hadhari. Bayi-bayi yang tidak dikehendaki makin banyak dihantar ke surau2 dan tokong