Friday, April 16, 2010

Nooraini binti M. Abdul Majid Lwn Pendakwa Syarie Negeri Melaka JH (2003) 16 (2) 117

Nooraini binti M. Abdul Majid
Lwn
Pendakwa Syarie Negeri Melaka
JH (2003) 16 (2) 117

1.0 Ringkasan Fakta Kes
Perayu Nooaraini Binti M. Abdul Majid telah mengaku bersalah di atas pertuduhan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu didapati hamil atau melahirkan anak di luar nikah.. Perayu telah dijatuhkan hukuman denda RM3000 dan jika tidak membayar denda penjara 24 bulan. Pensabitan atas dakwaan ini adalah berdasarkan pengakuan oleh tertuduh dan oleh pendakwa tidak perlu membuktikan kes. Seterusnya, perayu membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka supaya hukuman penjara 24 bulan yang dijatuhkan diketepikan dan perayu memohon dikenakan denda sahaja.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah memutukan:
a) Rayuan Perayu dibenarkan.
b) Perintah Hakim Bicara diketepikan berkaitan dengan hukuman penjara.
c) Mengesahkan sabitan berkaitan hukuman denda sahaja tanpa apa-apa amaran keras.


2.0 Ulasan Kes
Di dalam alasan penghakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah menyatakan beberapa faktor-faktor kehakiman Mahkamah Rendah yang telah diambil kira dalam memutuskan rayuan perayu antaranya kegagalan memberi peluang dan ruang yang secukupnya untuk mendapat nasihat perundangan, menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa, kegagalan menilai pengakuan bersalah secara sukarela, kegagalan menentukan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kegagalan memberi pertimbangan rayuan dan faktor-faktor kehakiman dengan menjatuhkan hukuman yang maksimum.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan akademik, penulis akan menghuraikan isu berkaitan iqrar atau pengakuan perayu bersabit kes di atas yang mana tertumpu kepada isu Hakim menerima pengakuan bersalah secara tergesa-gesa dan kegagalan Hakim menilai pengakuan bersalah secara sukarela.

Di dalam kes ini, pengakuan bersalah telah direkodkan pada hari pertama sebutan. Dalam nota bicara didapati Hakim telah beberapa kali menyoal perayu berkenaan pengakuan bersalah iaitu sama ada beliau faham pertuduhan yang dibaca, mengaku bersalah atau tidak, tahu akibat pengakuan bersalah, faham atau tidak peruntukan undang-undang yang dibaca, menyoal kembali perayu untuk mengaku atau tidak dan bertanya pengakuan perayu sekali lagi. Kesemuanya sebanyak enam kali dan perayu masih mengekalkan jawapan mengaku bersalah atas pertuduhan.
Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat Hakim Bicara tidak terlalu tergesa-gesa dalam mendapatkan pengakuan bersalah perayu. Tetapi Hakim berpendapat lebih baik masa yang panjang diberikan sebelum merekodkan pengakuan kerana kemungkinan perayu akan menukarkan pengakuan bersalahnya sekiranya Hakim Bicara menangguhkan hukuman pada hari lain.

3.0 Komen
Salah satu syarat kebolehterimaan iqrar atau pengakuan adalah iqrar hendaklah dibuat secara sukarela . Berdasarkan fakta kes, sekalipun pengakuan direkodkan dalam satu masa, ia tidaklah bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Isu pengakuan secara sukarela telah dibincangkan dalam kes Mokhtar Pangat lwn Pendakwa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan . Dalam kes tersebut, isu yang timbul ialah sama ada pengakuan boleh diterima dan sama ada tertuduh benar-benar memahami pertuduhan sebelum membuat pengakuan. Hakim dalam kes Mokhtar Pangat memutuskan bahawa:
a) Pengakuan hendaklah dibuat dengan penuh kesedaran dan sukarela.
b) Hakim hendaklah menyoal balas pengakuan tertuduh untuk memastikan pengakuan dibuat secara sukarela dan tertuduh benar-benar melakukan kesalahan tersebut.
Perkara yang sama boleh juga dilihat dalam kes Muhamad Amin lwn The State di mana dalam kes tersebut tertuduh telah membuat pengakuan dihadapan magistret tetapi kemudiannya menarik balik pengakuan semasa perbicaraan dan mendakwa pengakuan terpaksa dilakukan kerana telah dipukul oleh polis. Hakim membatalkan hukuman kerana pengakuan telah ditarik sebelum pelaksanaan hukuman.
Berdasarkan kes-kes di atas dan prinsip iqrar secara sukarela, pensabitan hukuman ke atas perayu adalah betul dan boleh diterima untuk pensabitan. Walau bagaimanapun, penulis besetuju dengan pendapat Hakim Mahkamah Tinggi agar masa diberikan kepada perayu sekurang-kurangnya untuk satu lagi tarikh sebutan baru sebelum menjatuhkan hukuman. Ini sekaligus membolehkan perayu untuk memikirkan semula sama ada benar-benar mahu membuat pengakuan ataupun perayu boleh melantik peguam dalam memberi nasihat berkenaan pengakuan yang akan dibuat. Dalam kes Maiz, Ibnu Al Qayyim dan Al Qurtubi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW hanya menjatuhkan hukuman ke atas Maiz atas pengakuan bersalahnya setelah menyoal balas pengakuan dan memastikan pengakuan itu benar-benar secara sukarela. Begitu juga dalam kes Al Ghamidiyyah di mana Nabi Muhammad memutuskan hukuman ke atas wanita yang mengaku berzina setelah pengakuan yang sama tetap dibuat walaupun dalam empat keadaan berbeza iaitu setelah wanita itu bersalin, setelah anaknya berhenti menyusu dan setelah ada penjaga terhadap anaknya.

4.0 Kesimpulan
Pengakuan adalah salah satu kaedah dalam membuktikan sesuatu pertuduhan. Seringkali kes-kes mahkamah syariah diputuskan hanya melalui pengakuan tertuduh dan bukan melalui pembuktian melalui keterangan dan perbicaraan. Oleh yang demikian, prinsip-prinsip keadilan dalam menerima iqrar atau pengakuan harus dipatuhi malah mahkamah harus melihat kecenderungan pensabitan melalui pengakuan sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian. Tertuduh perlu benar-benar faham mengenai iqrar dan diberi keterangan lanjut mengenai kesan dan akibat iqrar yang dibuat. Terdapat tertuduh yang tidak faham mengenai iqrar dan melakukan untuk mempercepatkan proses mahkamah dan mengharap agar diberi hukuman ringan. Dalam kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn Pendakwa Syarie Pulau Pinang tertuduh menganggap rayuan sebagai menarik balik pertuduhan tetapi Mahkamah memutuskan bahawa pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tidak ada apa-apa silap atau kecacatan dalam pensabitan. Maka mahkamah harus melihat isu ini sebagai perkara pokok dalam menentukan kebolehterimaan pengakuan atau iqrar dan seterusnya menjelaskan bahawa beban pembuktian sesuatu pertuduhan tidak semestinya hanya berdasarkan pengakuan, sebaliknya juga boleh melalui pembuktian keterangan.

1 comment:

  1. ulasan yg menarik
    zaman muda2 dulu x larat nk baca original kes yg menjulingkan mataku

    ReplyDelete